BANGUNAN Parlimen. FOTO Arkib NSTP.
BANGUNAN Parlimen. FOTO Arkib NSTP.
Muhammad Yusri Muzamir


Kuala Lumpur: Jawatankuasa Transformasi Parlimen sudah mengemaskini Rang Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Parlimen yang baharu dan Pindaan Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952.

Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim dan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun dalam satu kenyataan bersama berkata, ia dicapai menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Transformasi Parlimen yang dipengerusikan secara bersama, hari ini.

Kenyataan itu berkata, mesyuarat yang turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar itu diadakan susulan keputusan Mesyuarat Kabinet, pada 1 Jun lalu, dengan resolusi berkenaan sudah pun dimajukan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

"Mesyuarat hari ini bersetuju memberi mandat kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) untuk mengadakan sesi libat urus bersama pihak berkepentingan mengenai semua urusan penyediaan yang membabitkan Akta Suruhanjaya Parlimen, Pindaan Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 dan Kod Etika Ahli Parlimen.

"Semua ini harus diselesaikan sebelum sesi Parlimen akan datang. Parlimen Malaysia akan menjadikan perkara ini sebagai keutamaan dan sentiasa menyokong serta bekerjasama bagi menjayakan agenda ini," katanya, malam ini.

Sebelum ini, kerajaan dilapor bersetuju secara dasar berhubung cadangan dan perakuan Jawatankuasa Transformasi Parlimen supaya Parlimen Malaysia berfungsi mengikut dasar pengasingan kuasa seperti diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan, pada mesyuarat Kabinet 1 Jun lalu.

Mesyuarat berkenaan antara lain bersetuju dengan cadangan mewujudkan Suruhanjaya Perkhidmatan Parlimen kendiri dan Pindaan Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Jun 2022 @ 9:53 PM