DATUK Idris Ahmad (kanan) melancarkan buku terbitan Yadim 2022 yang anjuran YADIM sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2022 di WTCKL. FOTO Rohanis Shukri
DATUK Idris Ahmad (kanan) melancarkan buku terbitan Yadim 2022 yang anjuran YADIM sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2022 di WTCKL. FOTO Rohanis Shukri
Suraya Roslan dan Nurul Hawa Farahin Hamidi


Kuala Lumpur: Umat Islam di Malaysia diminta kekal bertenang dan bertindak balas secara intelektual menerusi perbincangan dan wacana bagi mengelak ketegangan agama semakin memuncak.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad berkata, ia bersesuaian dengan prinsip Islam yang melarang perbuatan menghina agama lain.

"Jangan kita hina penyembahan, tokong orang lain. Kalau kamu hina, nanti orang lain pula akan menghina tuhan kita. Ini prinsip yang Islam pegang.

"Kita juga berharap penganut agama lain untuk tidak bertindak sedemikian rupa. Insiden menghina ini tidak sepatutnya berlaku pada mana-mana agama sekali pun.

"Islam tidak membenarkan kita menghina orang, dan kita harapkan supaya agama lain juga jangan menghina Islam," katanya kepada media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Buku Terbitan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) 2022 di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Beliau mengulas mengenai kenyataan dua jurucakap parti pemerintah India, Parti Bharatiya Janata (BJP) pimpinan Perdana Menteri India, Narendra Modi yang mengeluarkan kenyataan Islamofobia dan menghina Nabi Muhammad SAW di televisyen, baru-baru ini.

Kenyataan itu mengundang kecaman beberapa negara Islam, antaranya Qatar, Kuwait, Oman, Pakistan, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi dan Iran, dengan ada yang menuntut India memohon maaf, selain ada negara yang mula memboikot produk keluaran India.

Ditanya pendirian Malaysia bagi tuntutan permohonan maaf dan boikot terhadap produk India, Idris berkata, perkara itu akan dibawa untuk perbincangan dalam mesyuarat kerajaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Jun 2022 @ 2:21 PM