GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin


Subang Jaya: Tindakan seorang lelaki warga asing menceroboh ke landasan Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Alam Megah, di sini, menyebabkan sistem pengangkutan awam berkenaan tergendala, semalam.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Abd Khalid Othman berkata, kejadian itu disedari seorang anggota polis bantuan yang bertugas di stesen berkenaan kira-kira jam 2 petang.

"Pengadu (anggota polis bantuan berkenaan) menahan suspek iaitu seorang lelaki warga Bangladesh berusia 24 tahun selepas dia menceroboh masuk ke landasan LRT terbabit.

"Difahamkan suspek bertindak sedemikian kerana mahu mengambil gambar di atas trek landasan berkenaan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Abd Khalid berkata, tindakan lelaki itu mengakibatkan sistem LRT terganggu dan terhenti selama lima minit.

"Suspek ditahan semula oleh pihak polis untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

"Suspek direman selama tiga hari untuk siasatan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Jun 2022 @ 10:57 PM