GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nuraliawati Sabri


Jasin: Pemandu Perodua Myvi yang dipercayai berada di bawah pengaruh alkohol dan merempuh pasangan suami isteri orang kurang upaya (OKU) dalam kemalangan maut di Jalan Serkam Pantai, di sini, akan direman esok.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri Superintendan Amran @ Mohamad Zaki Omar berkata, lelaki berusia 24 tahun itu yang juga pekerja kilang akan dibawa ke Mahkamah Majistret Jasin, untuk mendapatkan tempoh tahanan reman.

"Permohonan reman terhadapnya akan dibuat esok di mahkamah bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

"Selain itu, polis juga sedang menunggu laporan penuh ujian alkohol daripada pihak hospital," katanya.

Menurut beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Terdahulu, dalam kejadian kira-kira jam 7.45 pagi tadi, Perodua Myvi terbabit turut merempuh motosikal ditunggang lelaki berusia 57 tahun dan menyebabkan ia terbabit terbakar selain penunggangnya mengalami kecederaan.

Ketika kejadian, pasangan OKU dan lelaki berusia 57 itu dalam perjalanan dari arah Melaka menghala ke Merlimau manakala Perodua Myvi terbabit dari arah bertentangan.

Berita berkaitan:

  • Tergamam lihat jenazah ibu, ayah
  • Suami isteri maut dipercayai dirempuh pemandu Myvi mabuk
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Jun 2022 @ 6:25 PM