Zatul Iffah Zolkiply dan Baharom Bakar

Kuala Terengganu: Sebanyak RM5.034 bilion diperuntukkan bagi projek pembangunan sekolah dan institusi pendidikan di seluruh negara di bawah Rolling Plan Kedua Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) 2022.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 79 projek baharu dan sambungan bagi pembangunan sekolah serta institusi pendidikan di Terengganu membabitkan peruntukan sebanyak RM914.79 juta.

Beliau berkata, sebanyak 42 projek sudah siap sepenuhnya, 18 projek di peringkat pelaksanaan atau pembinaan dan 19 lagi projek berstatus pra bina.

Katanya, bagi projek menaik taraf dan membangun semula sekolah yang mempunyai bangunan daif, sebanyak 26 projek diluluskan dalam tempoh 2017 hingga 2022 dengan kos sebanyak RM60.93 juta.

"(Daripada jumlah itu), sebanyak 21 projek telah siap manakala baki sebanyak lima projek dalam peringkat pra bina," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia di Kompleks Sukan Negeri Terengganu di sini hari ini.

ISMAIL Sabri berucap semasa merasmikan Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) di Kompleks Sukan Negeri Terengganu. FOTO Ghazali Kori
ISMAIL Sabri berucap semasa merasmikan Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) di Kompleks Sukan Negeri Terengganu. FOTO Ghazali Kori

Turut hadir Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan turut memberi tumpuan dalam bidang kesihatan menerusi pelbagai projek yang sedang dijalankan.

Katanya, projek Hospital Dungun dengan kapasiti 110 buah katil lengkap dengan peralatan perubatan dan projek High Dependency Ward Hospital di Besut merangkumi lima katil terbuka, sebuah katil bilik isolasi dan enam zon utama dijangka siap dibina pada tahun ini.

"Terdapat lima lagi projek yang dijangka siap tahun depan iaitu pembinaan Hospital Kemaman setinggi sembilan tingkat dengan kapasiti 300 katil dan klinik kesihatan di Kampung Raja, Besut.

"Kerja menaik taraf dan penggantian sistem lif di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu, Klinik Kesihatan di Rhu Sepuluh, Setiu dan pembinaan Klinik Kesihatan di Paya Datu, Kuala Terengganu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Jun 2022 @ 2:57 PM