Izz Laily Hussein

Johor Bahru: Polis menahan tiga lelaki yang disyaki terbabit dengan pergaduhan sehingga menyebabkan kematian seorang rakan mereka yang ditemukan di bawah sebuah pangsapuri di Jalan Masai Jaya 2, Bandar Seri Alam di sini, semalam.

Semua suspek berusia 20 hingga 33 tahun itu ditahan dalam tempoh kurang 24 jam selepas polis menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 12.45 tengah malam Ahad.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, polis mendapat maklumat daripada orang awam yang menemukan seorang lelaki yang meninggal dunia dipercayai jatuh dari balkoni tingkat dua pangsapuri berkenaan.

Beliau berkata, siasatan lanjut di tempat kejadian mendapati terdapat kesan pergelutan dan unsur jenayah yang menyebabkan mangsa jatuh dari tingkat dua bangunan itu.

"Pemeriksaan ke atas mangsa mendapati ada kecederaan dan pendarahan di bahagian belakang kepalanya," katanya ketika sidang media pada Majlis Sambutan Hari Raya Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, hari ini.

Kamarul Zaman ketika ditemuramah pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri IPK Johor di Padang Kawad IPK Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Kamarul Zaman ketika ditemuramah pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri IPK Johor di Padang Kawad IPK Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN

Menurut Kamarul Zaman, siasatan awal mendapati motif kejadian adalah disebabkan masalah hutang dadah jenis syabu.

Katanya, ketika serbuan dibuat, unit pangsapuri yang dipercayai disewa mereka sudah dikosongkan.

"Setakat ini tiada sebarang rampasan dibuat, namun kita masih lagi dalam siasatan untuk mengenal pasti sama ada kejadian membabitkan penggunaan senjata atau sebagainya," katanya.

Kamarul Zaman berkata, semua suspek ditahan reman tujuh hari sehingga 5 Jun ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Semakan rekod lampau mendapati semua suspek mempunyai rekod lampau membabitkan jenayah dan dadah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Mei 2022 @ 2:15 PM