BANJIR kilat di Jalan Ampang. FOTO ihsan polis
BANJIR kilat di Jalan Ampang. FOTO ihsan polis
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Hujan berterusan sejak pagi ini mengakibatkan beberapa kawasan di ibu kota dilanda banjir kilat.

Polis Kuala Lumpur dalam kenyataan memaklumkan, antara lokasi dinaiki air ialah Jalan Ipoh menyebabkan laluan ditutup sementara dari arah Bulatan Pahang ke Jalan Ipoh.

Laluan lain yang dinaiki air ialah Jalan Sultan Azlan Shah dari Jalan Ipoh, Jalan Imbi ke arah Jalan Sultan Ismail dan Jalan Ampang.

Turut dinaiki air ialah Jalan Kampar off Jalan Sentul, Bulatan Dato, Kampung Periuk, Jalan Duta Mas, Jalan Ampang serta Jalan Dang Wangi.

Bagaimanapun, kesemua laluan berkenaan masih boleh dilalui kenderaan dan polis sedang menjalankan pemantauan di lokasi.

Ketua JSPT Kuala Lumpur Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, seramai 60 pegawai dan anggotanya ditempatkan di lokasi yang dilaporkan dinaiki air.

"Di Jalan Ampang berhampiran KLCC, saluran longkang tersumbat menyebabkan banjir kilat selama 30 minit.

"Anggota JSPT bersama petugas DBKL berusaha mencari lubang yang tersekat dengan batu dan objek keras sebelum mengorek sekali gus membolehkan air keluar dengan lancar," katanya.

Selain itu, beliau berkata, situasi sama turut dilaporkan berlaku di Jalan Dang Wangi yang disebabkan oleh saluran longkang tersumbat sehingga air bertakung setinggi 0.6 meter.

Menurutnya, pihaknya bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan dan menjalankan pemantauan di lokasi.

Setakat jam 1 tengah hari ini, keadaan banjir di semua lokasi dilaporkan terkawal dan air mulai surut.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mei 2022 @ 1:47 PM