Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Sejumlah 43,929 unit barangan berjenama disyaki tiruan bernilai lebih RM1 juta dirampas pada Selasa, hasil serbuan ke atas empat stor di kompleks pemborong di Jalan Kenanga di sini.

Serbuan oleh penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kuala Lumpur bersama wakil pemilik cap dagang.

Pengarah KPDNHEP Kuala Lumpur, Ariffin Samsudin berkata, sebelum serbuan itu, pihaknya melakukan risikan selama dua minggu selepas memperoleh aduan wakil pemilik cap dagang.

"Pemeriksaan terhadap empat stor itu menemukan 43,929 barang disyaki tiruan, terdiri daripada beg, dompet, tali pinggang dan minyak wangi.

"Nilai keseluruhannya dianggar RM1,072,750 dan ia disita kerana disyaki dipakaikan cap dagangan secara salah mengikut Akta Cap Dagangan 2019," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Ariffin Samsudin menunjukkan barang rampasan minyak wangi jenama tiruan. FOTO ASWADI ALIAS
Ariffin Samsudin menunjukkan barang rampasan minyak wangi jenama tiruan. FOTO ASWADI ALIAS

Ariffin berkata, premis terbabit juga didapati menjual barangan itu secara dalam talian, dengan pemilik mempunyai kedai di kompleks berkenaan.

Bagaimanapun katanya, barangan terbabit tidak dipamer di premis bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

"Penjualan (barang jenama disyaki tiruan) didakwa dibuat kepada pelanggan tetap dan hanya dikenali oleh pekerja dan pemilik premis berkenaan," katanya.

Menurutnya, operasi itu turut menahan dua individu iaitu pemilik dan pekerja stor untuk tindakan lanjut, manakala kes disiasat mengikut Akta Cap Dagangan 2019.

Dalam pada itu, katanya, sebanyak 44 kes berkaitan dilapor sejak Januari hingga bulan ini, membabitkan 97,169 unit barang rampasan yang bernilai RM2,829,384.47.

Katanya, 13 orang ditahan di bawah Ops Jeriji 3.0 kerana kesalahan berkaitan harta intelek.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Mei 2022 @ 5:18 PM