DATUK Zainol Samah. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad
DATUK Zainol Samah. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad
Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Tiada kes pecah rumah serta curi (PRC) bagi pemilik kediaman dan premis di negeri ini yang melaporkan kepulangan mereka ke kampung kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) sempena cuti Aidilfitri lalu.

Sebagai perbandingan 33 kes PRC direkodkan bagi kediaman dan premis yang tidak melaporkan kepada polis bermula 25 April hingga 15 Mei lalu.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, angka itu diperoleh menerusi Op Jabatan Siasatan Jenayah bermula seminggu menjelang Aidilfitri dan dua minggu selepas Syawal, sekali gus membuktikan keberkesanan Kempen Balik Kampung Op Selamat bermula 29 April hingga 8 Mei lalu.

Menurutnya, keprihatinan pemilik rumah dan premis terbabit melaporkan ketiadaan mereka melalui pelbagai platform disediakan membolehkan polis melakukan rondaan cegah jenayah berkala di lokasi ditetapkan.

"Keseluruhannya polis Melaka menerima 824 laporan balik kampung membabitkan 544 di Melaka Tengah, Alor Gajah (186) dan Jasin (94).

"Daripada jumlah itu, 517 laporan diterima melalui VSP (Aplikasi Volunteer Smartphone Patrol) dan 307 menerusi borang diisi pemilik kediaman dan premis.

"Namun, tiada laporan diterima menerusi talian hotline 999 dan pendaftaran secara dalam talian," katanya dalam kenyataan hari ini.

Zainol berkata, berdasarkan laporan itu, polis menjalankan 5,275 rondaan melalui Unit Kereta Peronda (MPV), Unit Rondaan Bermotosikal (URB) serta rondaan balai dan hasilnya tiada laporan kejadian pecah rumah dan premis

diterima.

Menurutnya, jumlah itu membabitkan 3,262 rondaan di Melaka Tengah, Alor Gajah (601) serta Jasin (1,412).

"Mengikut pecahan, 2,586 rondaan dibuat melalui MPV, meliputi 1,107 rondaan di Melaka Tengah, Alor Gajah (217) dan 1,262 di Jasin.

"Rondaan URB pula sebanyak 419, iaitu 263 rondaan di Melaka Tengah, Alor Gajah (156) dan Jasin (sifar)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Mei 2022 @ 11:49 PM