GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Beberapa pertubuhan karier perubatan negara gusar dengan ketiadaan wakil barisan petugas kesihatan di lapangan sendiri dalam keanggotaan Pasukan Petugas Khas bagi Penambahbaikan Budaya Kerja Perkhidmatan Kesihatan (HWCITF) diumumkan kerajaan semalam.

Dalam kenyataan bersama hari ini, Persatuan Perubatan Malaysia Bahagian Pelatih, Pegawai Perubatan dan Pakar Perubatan (MMA SCHOMOS), Hartal Doktor Kontrak, Persatuan Perubatan Islam Malaysia (IMAM), Malaysian Medics International, dan MMA Junior Doctors Network (JDN) meluahkan kebimbangan keanggotaan HWCITF tidak mempunyai wakil daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kesihatan yang mewakili ramai warga kesihatan.

"Kami harap ini tidak menidakkan suara barisan doktor yang saban hari bertungkus lumus di wad serta klinik-klinik.

"Melalui pertubuhan atau persatuan kesihatan, suara warga kesihatan inilah yang perlu diangkat bagi menyelesaikan isu buli dan salah laku dalam kalangan warga Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," katanya dalam kenyataan bersama itu.

Menurut kenyataan, pihak persatuan sudah mendapatkan maklum balas, aduan serta saranan daripada wakil setiap kelompok warga kesihatan, termasuk pegawai perubatan siswazah sehinggalah pakar-pakar perubatan.

Katanya, dapatan yang penting itu sudah pun dimajukan kepada pihak KKM seperti yang diminta sebelum ini dan mereka sentiasa bersedia untuk memberi maklum-balas lanjut berkenaan isu berkenaan.

"Sekiranya wakil persatuan yang membawa suara mereka yang di lapangan ini tidak diendahkan, maka sebarang usaha untuk mencari penyelesaian akan menjadi lebih sukar," katanya.

Namun, katanya, penubuhan pasukan petugas khas HWCITF dialu-alukan sebagai sebahagian usaha memperbaiki persekitaran pekerjaan yang lebih baik buat semua warga kesihatan di sektor kerajaan.

Menurutnya, keahlian pasukan petugas khas itu dilihat terdiri dari barisan individu berkaliber dalam bidang masing-masing.

Semalam, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengumumkan penubuhan HWCITF dan menjelaskan keanggotaan badan bebas itu akan dinilai dan ditentukan beliau selaku Menteri Kesihatan.

Khairy berkata, Pasukan Petugas Khas itu akan dipengerusikan oleh bekas Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) Professor Datuk Ir Ts Dr Siti Hamisah Tapsir.

Ia juga akan dianggotai kumpulan pakar yang terdiri daripada lapan individu yang profesional dan pakar dalam bidang masing-masing.

Mereka ialah Ahli Lembaga Majlis Sukan Negara, Datuk Hamidah Naziadin; Pro-Naib Canselor, Akademik dan Profesor Pediatrik di Fakulti Perubatan dan Kesihatan IMU, Prof Dr Zabidi A. M. Hussin; Peguam, Mohamed Ridza Mohamed Abdulla; Pakar Perunding Psikiatri dan Pakar Berhenti Merokok dari Jabatan Perubatan Psikologi, Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Prof Madya Dr Amer Siddiq Amer Nordin; Ketua Pegawai Eksekutif IMU Healthcare, Dr Chong Su-Lin, Aktivis; dan wakil Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Manvir Victor; Pakar penilaian, membangun dan melatih CEO, eksekutif dan pemimpin berpotensi tinggi, Sivaramakrishnan Balasubramanian dan wakil daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Khairy dilaporkan berkata, pasukan petugas khas diberi tempoh dua bulan untuk menyiasat isu buli di semua hospital di bawah KKM.

Kelmarin, beliau mengesahkan lima pegawai perubatan yang didakwa sebagai 'pembuli' di Hospital Pulau Pinang (HPP) turut membabitkan doktor pakar dan beliau sudah melihat nama itu yang sebelum ini diserahkan kepada KKM seterusnya siasatan dijalankan berhubung tuduhan itu.

"Untuk keadilan kepada semua pihak, ia mesti melalui proses telus yang akan dikemukakan kepada saya nanti. Itu adalah proses dalaman biasa kita laksanakan.

"Selain itu seperti saya umumkan sebelum ini, satu pasukan petugas khas akan ditubuhkan dan mereka juga akan melihat aduan-aduan itu. Bukan saya mempengerusikannya (pasukan petugas khas) dan esok saya akan umumkan sebab ia melibatkan terma," katanya dalam laporan media kelmarin.

Sementara itu, penganalisis jenayah Kamal Affandi Hashim ketika dihubungi berkata, pasukan petugas khas itu perlu dipertanggungjawab untuk meneliti fakta dan jika terdapat di dalam terma rujukannya, segera memberikan saranan penambahbaikan.

"Benar bahawa hampir semua dilantik adalah pakar daripada kumpulan pengurusan dan pentadbiran. Kemampuan mereka menilai proses, prosedur dan protokol tidak boleh dinafikan.

"Namun pada hemat saya ada baiknya mereka yg mempunyai pengalaman siasatan lapangan turut dilantik menganggotainya. Ini membolehkan pasukan turut mengumpul maklumat spesifik yang konsisten dengan praktis seharian lapangan.

"Sambil nilai yang ada atas kertas, ada baiknya amalan yang luar kertas juga diberi penelitian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Mei 2022 @ 2:39 PM