GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Khidir Zakaria


Port Dickson: Akibat panik ditahan, seorang penunggang motosikal berusia 19 tahun yang cuba melarikan diri terlanggar seorang anggota polis di tepi jalan Batu 1, Jalan Pantai, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, dalam kejadian 1.15 pagi itu, lelaki yang menunggang motosikal jenis Yamaha terbabit ditahan untuk pemeriksaan biasa.

"Ketika itu, tiga anggota polis dalam penugasan ronda cegah jenayah (RCJ) terserempak dengan penunggang terbabit dan menahannya untuk pemeriksaan.

"Mungkin kerana panik, dia cuba melarikan diri dan melanggar seorang anggota polis sebelum terjatuh," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, dalam kejadian itu, semua anggota berpakaian seragam dan sedang bertugas.

"Lelaki itu terus ditahan di lokasi dia terjatuh. Anggota yang dilanggar mengalami luka di kepala manakala suspek mengalami kecederaan di bahu dan kaki akibat terjatuh dari motosikal," katanya.

Aidi Sham berkata, suspek dan anggota polis yang cedera dibawa ke Hospital Port Dickson untuk rawatan. "Siasatan mendapati lelaki itu cuba melarikan diri kerana tidak mempunyai lesen memandu.

"Suspek direman selama tiga hari bermula hari ini sehingga 15 Mei," katanya.

Menurutnya, suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau manakala ujian saringan air kencing adalah negatif.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Mei 2022 @ 4:27 PM