PENDUDUK terjejas banjir menaiki trak untuk dipindahkan ke PPS. FOTO ihsan APM
PENDUDUK terjejas banjir menaiki trak untuk dipindahkan ke PPS. FOTO ihsan APM
Yun Mikail


Beaufort: Seramai 55 mangsa banjir membabitkan 13 keluarga di Beaufort dan Tenom ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 10 pagi tadi.

Menurut statistik dikeluarkan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah, Beaufort merekodkan jumlah mangsa banjir terkini iaitu 29 orang daripada lapan keluarga diikuti Tenom seramai 26 mangsa membabitkan lima keluarga.

Jurucakap APM Sabah berkata, setakat ini satu PPS dibuka di Dewan Datuk Seri Panglima Dun Banir di Beaufort dan sebuah lagi PPS kini dibuka untuk pemindahan mangsa banjir di Rumah Kebudayaan Kalang Kanar, Tenom.

"Sebanyak 46 kampung sekitar Beaufort digenangi banjir. Antaranya Kampung Gadong, Lawa, Jabang, Batu 65, Tuhu, Lupak dan Kebajang Ulu.

"Selain itu, terdapat beberapa jalan raya yang sudah tidak boleh dilalui serta ada antara laluan hanya boleh dilalui kenderaan berat saja," katanya.

Menurutnya, terdapat 11 kampung terjejas banjir di Tenom ketika ini.

Menurutnya, ia termasuklah Kampung Bunut, Binsilon, Mandalom Lama, Tumantalik dan Enubai.

"Bagaimanapun, banjir di beberapa jalan raya sudah mulai surut seperti di Jalan Binsilon, Makakumpai, Mandalom Lama, Pantongan Saga dan Batu-Batu," katanya.

APM turut menasihatkan penduduk khususnya yang tinggal di kawasan rendah atau berhampiran sungai agar sentiasa peka dengan keadaan semasa selain berpindah segera jika perlu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Mei 2021 @ 11:07 AM