SUSULAN berita lima rentung dalam kemalangan tiga kenderaan.
SUSULAN berita lima rentung dalam kemalangan tiga kenderaan.
Raja Noraina Raja Rahim


Hulu Selangor: "Mendengar laungan azan Ayun (Muhammad Nasrun Aidol Munir Akbar) berkumandang, penduduk di sini pasti akan tahu dia sudah balik ke taman ini," kata penjaga Surau Sa'odatus-Salam, Kuala Kubu Bharu, Aziz Majid, 69.

Muhammad Nasrun, 22, adalah seorang daripada mangsa kemalangan maut di Kilometer 245.2 Lebuh raya Utara Selatan (PLUS) arah utara, dekat Kuala Kangsar, Perak, tengah malam tadi.

Menurut Aziz, arwah amat dikenali dalam kalangan kariah kerana sangat baik dan sering menjadi imam di surau apabila pulang bercuti.

Menurutnya, arwah adalah huffaz al-Quran dan bekas pelajar tahfiz di Perak.

"Penduduk mengenali Ayun sebagai seorang anak yang baik sejak kecil lagi disebabkan didikan ibu bapanya yang juga seorang ustaz dan ustazah.

"Dia juga dikenali sebagai seorang yang lunak suaranya dan merdu ketika mengalunkan azan," katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Aziz berkata, beliau pasti akan merindui arwah bukan kerana sudah mengenali arwah sejak di usia enam tahun lagi, tetapi disebabkan keperibadian dan budi pekerti yang ditonjolkan pemuda itu.

Katanya, beliau turut merasai kehilangan Muhammad Nasrun dan bersimpati dengan kejadian yang menimpa keluarga arwah.

Sementara itu, seorang ahli keluarga yang baru tiba dari Johor berkata, mereka masih terkejut dengan berita itu dan berdoa semoga setiap urusan dipermudahkan untuk keluarganya dan keluarga mangsa lain.

"Kami belum dapat maklumat baru lagi kerana sebelum ini kami diberitahu jenazah akan melalui ujian ujian asid deoksiribonukleik (DNA) sebelum dibawa pulang untuk dikebumikan," katanya.

Katanya, masa dan lokasi pengebumian jenazah juga belum dipastikan lagi.

Berita berkaitan

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Mei 2022 @ 4:43 PM