MAYAT seorang lelaki tanpa pakaian dalam keadaan kaki dan tangan diikat serta muka ditutup dengan ikatan kain ditemukan di Sungai Golok, Kampung Simpangan di sini, pagi tadi. FOTO ihsan PEMBACA
MAYAT seorang lelaki tanpa pakaian dalam keadaan kaki dan tangan diikat serta muka ditutup dengan ikatan kain ditemukan di Sungai Golok, Kampung Simpangan di sini, pagi tadi. FOTO ihsan PEMBACA
Siti Rohana Idris


Tumpat: Mayat lelaki tanpa pakaian dalam keadaan kaki dan tangan diikat serta muka ditutup dengan ikatan kain ditemukan di Sungai Golok dekat Kampung Simpangan, di sini, hari ini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Tan Seng Lee berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung penemuan mayat terbabit pada 7.25 pagi.

"Mayat itu ditemukan terapung di Sungai Golok dalam keadaan meniarap dengan kedua-dua tangan dan kaki diikat serta muka ditutup dengan ikatan kain.

"Ia dijumpai dalam keadaan bogel dan tiada kesan suntikan imunisasi BCG (Bacillus Calmette Guerin) di tubuh mangsa. Kita percaya mayat itu sudah melebihi 24 jam dalam air," katanya ketika dihubungi, di sini.

Menurutnya, pihaknya sudah berjumpa dengan penduduk di seberang Sungai Golok di Thailand untuk mendapatkan maklumat.

Katanya, setakat ini tiada maklumat berkaitan orang hilang diperoleh dan identiti mayat lelaki dianggarkan berusia 30 hingga 40-an belum dikenal pasti.

"Mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Tumpat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat atau kehilangan ahli keluarga boleh berhubung dengan Asisten Superintendan Md Sani Md Saleh di talian 012-9216944.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Mei 2022 @ 12:50 PM