AL-Sultan Abdullah menerima panggilan telefon secara peribadi daripada Recep Tayyip Erdogan, di Istana Negara, hari ini. FOTO Ihsan FB Istana Negara.
AL-Sultan Abdullah menerima panggilan telefon secara peribadi daripada Recep Tayyip Erdogan, di Istana Negara, hari ini. FOTO Ihsan FB Istana Negara.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan menzahirkan kegembiraan atas hubungan dua hala yang terjalin kukuh antara kedua negara dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi dan perdagangan.

Menurut hantaran di laman Facebook rasmi Istana Negara, kegembiraan itu dikongsi kedua-dua pemimpin dalam perbualan telefon selama 20 minit yang bermula pada jam 5 petang itu.

Mengikut hantaran itu, Al-Sultan Abdullah berkenan menerima panggilan telefon secara peribadi daripada Erdogan di Istana Negara hari ini.

Seri Paduka juga telah menyampaikan persetujuan untuk berangkat melakukan Lawatan Negara ke Turki pada suku ketiga tahun ini.

Seri Paduka dan Erdogan pada masa yang sama turut bertukar ucapan selamat menyambut Aidilfitri.

"Seri Paduka Baginda, bagi pihak Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, turut menzahirkan ucapan kepada Puan Yang Terutama Emine Erdogan, isteri kepada Presiden Republik Turki," menurut hantaran itu.

Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan ucapan tahniah kepada Erdogan atas pembukaan Masjid Besar Hagia Sophia di Istanbul untuk ibadah solat sunat Tarawih buat pertama kali dalam tempoh 88 tahun bermula pada 1 April lalu dan menyifatkannya sebagai detik bersejarah kepada penganut agama Islam di Turki dan seluruh dunia.

Terdahulu, Seri Paduka turut berkenan menerima panggilan telefon secara peribadi daripada Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah dan bertukar ucapan selamat menyambut Aidilfitri termasuk kepada ahli keluarga.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Mei 2022 @ 12:37 AM