Pasukan penyelamat pantai memberikan bantuan kecemasan kepada mangsa. FOTO ihsan APM
Pasukan penyelamat pantai memberikan bantuan kecemasan kepada mangsa. FOTO ihsan APM
Nurul Fatihah Sulaini


Besut: Dua keluarga terpaksa menempuh detik cemas apabila ahli keluarga masing-masing disengat obor-obor ketika mandi di Pantai Bukit Keluang sempena cuti Aidilfitri, kelmarin.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Besut Kapten (PA) Ramlan Ros Wahid berkata, kejadian pertama membabitkan seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang.

Katanya, mangsa dikenali sebagai Wan Sofea Maisarah berasal dari Pasir Mas, Kelantan.

"Ahli keluarga mangsa memaklumkan kepada pasukan penyelamat pantai dan rawatan awal diberikan kepada mangsa dengan meletakkan cuka di kawasan yang terkena sengatan. Mangsa beransur pulih dan ahli keluarga membawanya pulang," katanya ketika dihubungi hari ini.

Ramlan berkata, pada hari sama seorang lagi pengunjung menjadi mangsa kedua sengatan obor-obor kira-kira jam 6.30 petang.

Katanya, mangsa Mohd Sazwan Fikri, 32, berasal dari Johor terpaksa dikejarkan ke Hospital Besut kerana mengalami sesak nafas.

"Pasukan penyelamat pantai memberi rawatan awal dengan meletakkan cuka bagi mengurangkan kesan sengatan obor-obor sebelum menghubungi Angkatan Pertahanan Awam (APM) untuk menghantar mangsa ke hospital," katanya.

Katanya, orang ramai dinasihatkan tidak menyentuh obor-obor berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Mei 2022 @ 5:14 PM