KEADAAN Perodua Alza yang tersangkut di antara jambatan dan paip air selepas terbabas. FOTO ihsan polis
KEADAAN Perodua Alza yang tersangkut di antara jambatan dan paip air selepas terbabas. FOTO ihsan polis
Meor Riduwan Meor Ahmad


Alor Gajah: Tiga sekeluarga berdepan detik cemas apabila Perodua Alza dinaiki mereka terbabas dan tersangkut di tepi jambatan Sungai Siput di Jalan Lubok China, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian 4.30 petang itu, pasangan suami isteri, Abd Rahman Joned, 66, dan Normah Bujang, 64, cedera manakala anak mereka, Nurul Husna, 23, yang memandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, kemalangan dipercayai berpunca akibat permukaan jalan licin selepas hujan.

"Tiga beranak itu dalam perjalanan dari bandar Melaka ke Lubok China.

"Tiba di tempat kejadian, pemandu dipercayai hilang kawalan menyebabkan kereta terbabas sendiri melanggar besi papan tanda di bahu jalan sebelah kiri hingga tersangkut di atas jambatan.

"Pemandu tidak cedera manakala dua penumpang masing-masing mengalami bengkak kaki dan cedera di bibir," katanya dihubungi di sini.

Beliau berkata, pemandu yang bekerja di sebuah kedai serbaneka sudah membuat laporan dan kes disiasat mengikut Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalulintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59).

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka berkata, tujuh pegawai dan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Masjid Tanah ke lokasi kejadian.

"Setibanya di lokasi, Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II, Mohd Gadafi Mohd Nor dan anggota mendapati tiga mangsa terbabit sudah dibawa ke Hospital Alor Gajah dengan ambulans KKM (Kementerian Kesihatan).

"Anggota bomba kemudian membersihkan serpihan kenderaan di kawasan berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Mei 2022 @ 12:47 PM