Sebuah kereta peronda polis termasuk tiga buah kenderaan lain terlibat dalam kemalangan di KM 37 Jalan Kluang - Ayer Hitam, semalam. FOTO Ihsan Pembaca
Sebuah kereta peronda polis termasuk tiga buah kenderaan lain terlibat dalam kemalangan di KM 37 Jalan Kluang - Ayer Hitam, semalam. FOTO Ihsan Pembaca
Essa Abu Yamin

Batu Pahat: Lelaki cedera parah selepas motosikal ditungganginya bergesel dengan sebuah treler dalam kemalangan yang turut membabitkan dua lagi kenderaan termasuk sebuah kenderaan unit peronda polis (MPV) di Kilometer 37, Jalan Kluang-Ayer Hitam dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, kejadian pada 10.45 malam itu membabitkan empat buah kenderaan iaitu motosikal, MPV, lori dan treler.

"Kemalangan dipercayai berlaku ketika penunggang motosikal berkenaan dari arah Kluang menghala ke Batu Pahat bergesel dengan sebuah treler.

"Treler berkenaan datang dari arah Ayer Hitam ke Kluang sebelum hilang kawalan dan terlanggar MPV berkenaan serta lori dari arah yang sama," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ismail berkata, pemandu MPV terbabit cuba mengelak ke lorong sebelah kiri tetapi terlanggar sebuah lori yang berada di lorong berkenaan.

"Akibat daripada kemalangan berkenaan, penunggang motosikal itu parah dan dihantar ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang.

"Dua anggota polis daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang serta pemandu dan kelindan lori berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.

Katanya, kemalangan berkenaan disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 April 2022 @ 3:16 PM