Redzuan Muharam


Alor Gajah: Demi menyara anak dan isteri, pelbagai usaha dilakukan bekas pemain bola sepak Samsulfais Ahmad untuk memastikan kelangsungan hidup.

Selain menyertai sebuah pertandingan realiti nyanyian, Samsulfais, 35, yang menetap di Taman Sungai Petai Permai, di sini, juga pernah berlakon dalam beberapa drama dan kini menjadi pemakai maskot di bazar Ramadan.

Bapa tiga anak itu berkata, peralihan kerjayanya bermula ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 dua tahun lalu selepas tamat kontrak dengan pasukan Melaka United 2.

"Saya hanya sempat bersama dengan Melaka United 2 untuk satu musim sahaja dan sebelum menjadi pemain bola sepak, saya bekerja sebagai pemandu persendirian.

"Ketika awal PKP, saya tiada pekerjaan dan itu yang memberi dorongan kepada saya menyertai sebuah program realiti nyanyian anjuran syarikat penyiaran televisyen berbayar kerana jika tidak, bagaimana untuk dapatkan wang bagi menyara anak dan isteri?.

"Ditakdirkan saya muncul juara dan niat asal menyertai pertandingan itu adalah membantu keluarga namun saya nekad menyerahkan wang kemenangan kepada rakan baik bagi membolehkannya membeli alat bantuan pernafasan untuk anak perempuannya yang dijangkiti adenovirus (sejenis virus yang menjangkiti sistem pernafasan)," katanya ketika dihubungi, semalam.

Samsulfais tidak kesal sebaliknya bersyukur kerana berpeluang membantu kerana menganggap anak rakan baiknya lebih memerlukan wang berkenaan.

Menurutnya, dia ada menyertai sebuah pertandingan realiti nyanyian lain namun kecundang dan kini menjadi pemakai maskot jika tiada tawaran berlakon.

"Tidak dinafikan dua tahun PKP adalah tempoh paling mencabar namun saya cuba untuk tidak berputus asa kerana mengenangkan tanggungjawab menyara isteri dan anak.

SAMSULFAIS Ahmad cari rezeki sebagai pemakai maskot sejak dua tahun lalu. FOTO Samsulfais
SAMSULFAIS Ahmad cari rezeki sebagai pemakai maskot sejak dua tahun lalu. FOTO Samsulfais

"Disebabkan itu, saya cuba keluar daripada zon selesa dan ikut pelawaan rakan untuk cari rezeki sebagai pemakai maskot.

"Pendapatan tidak menentu kerana saya letakkan kotak dan orang ramai boleh menyumbang seikhlas hati mereka namun sekurang-kurangnya ada hasil daripada tiada langsung dan setakat ini, saya seronok dengan apa dilakukan malah tiada pun rasa malu.

"Syukur kerana isteri amat memahami malah dia yang beri galakan kepada saya sehingga ke hari ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 April 2022 @ 3:28 PM