GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Iskandar Ibrahim


Kuala Lumpur: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan membentangkan laporannya berhubung aplikasi MySejahtera pada minggu pertama persidangan Dewan Rakyat, Julai ini.

Pengerusinya, Wong Kah Woh berkata, memandangkan prosiding yang berlangsung membabitkan isu penting, PAC meminta supaya Speaker Dewan Rakyat membenarkan laporan itu dibahaskan oleh Ahli Parlimen sekurang-kurangnya untuk sehari.

"PAC mencadangkan kerajaan mengambil kira pandangan laporan yang bakal dibentangkan dan perbahasan Ahli Parlimen sebelum mengambil keputusan membabitkan implikasi kewangan dalam isu pembangunan aplikasi MySejahtera," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas mengenai isu aplikasi terbabit, Kah Woh berkata, PAC pada Khamis meneruskan sesi Pembangunan dan Perolehan Aplikasi MySejahtera dengan mendengar penjelasan dan keterangan daripada tiga agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Ia, Unit Permodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), Majlis Keselamatan Negara (MKN), serta Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA).

Katanya, prosiding terbabit berlangsung selama tiga jam bermula jam 10 pagi yang mana fokusnya berhubung siapa yang terbabit dalam pelantikan syarikat KPI Soft Sdn Bhd untuk membangunkan aplikasi MySejahtera pada April 2020.

"Prosiding turut memberi fokus mengenai kelangsungan konsep CSR (tanggungjawab sosial korporat) yang dicadangkan dan ketidakwujudan kontrak rasmi antara kerajaan dengan syarikat pembangun.

"Tumpuan juga diberikan mengenai pemilikan aplikasi MySejahtera khasnya pegangan harta intelek dan pendirian KPI Soft Sdn Bhd atau MySj Sdn Bhd terhadap tuntutan pemilikan harta intelek seperti yang termaktub dalam dokumen mahkamah serta dokumen berkaitan," katanya.

Beliau berkata, prosiding kedua itu diadakan selepas kali pertama ia dihadiri oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin pada 14 April lalu.

"Bagi prosiding kedua ini, JPM diwakili Timbalan Ketua Setiausaha (Kewangan dan Pembangunan), Datuk Sollehuddin Alyubi Zakaria dan Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), Datuk Mohamad Ismail.

"MAMPU diwakili Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Dr Yusoff Ismail; MKN diwakili Ketua Pengarahnya, Datuk Rodzi Md Saad dan NACSA diwakili Ketua Eksekutifnya, Rahamzan Hashim," katanya.

Tegasnya, PAC akan meneliti segala keterangan, dokumen dan minit mesyuarat yang diperoleh sebelum membuat keputusan sama ada akan memanggil saksi lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 April 2022 @ 4:01 PM