PENGUNJUNG memilih songkok di Jalan Tuanku Abdul Rahman sebagai persiapan menyambut Aidilfitri. FOTO Asyraf Hamzah.
PENGUNJUNG memilih songkok di Jalan Tuanku Abdul Rahman sebagai persiapan menyambut Aidilfitri. FOTO Asyraf Hamzah.
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Menjelang 10 hari lagi menyambut Aidilfitri, orang ramai mula membanjiri pusat beli-belah di sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Bukit Bintang, di sini, hari ini.

Seorang pengunjung, Shahrul Azmi Razali, 34, berkata, dia datang ke Jalan Tuanku Abdul Rahman dari rumahnya di Bukit Beruntung, Selangor kira-kira 9 pagi.

"Saya datang bersama keluarga mentua yang tiba dari Bintulu, Sarawak untuk membeli barang keperluan Aidilfitri nanti.

"Keadaan membeli-belah agak sesak di sini (Jalan Tuanku Abdul Rahman) kerana ada ramai orang," katanya yang bekerja sebagai guru.

ORANG ramai mengunjungi Jalan Tuanku Abdul Rahman bagi membeli barangan menyambut Aidilfitri. FOTO Asyraf Hamzah
ORANG ramai mengunjungi Jalan Tuanku Abdul Rahman bagi membeli barangan menyambut Aidilfitri. FOTO Asyraf Hamzah

Seorang lagi pengunjung, Md Jar Seman, 58, berkata, dia memilih untuk membeli-belah bersama keluarga di Jalan Tuanku Abdul Rahman kerana terdapat banyak pilihan keperluan Aidilfitri di kawasan itu.

"Sebelum ini, saya tidak sempat membawa keluarga untuk membeli-belah kerana belum ada wang mencukupi.

"Bila sudah ada wang, saya bawa mereka ke sini kerana ada banyak pilihan. Namun, kami kena keluar rumah dari Serendah lebih awal dan tiba di sini jam 8 pagi kerana bimbang tiada parkir selain mengelak jalan sesak," katanya yang juga peniaga barangan terpakai.

Sementara itu, tinjauan wartawan Harian Metro di kedua-dua kawasan berkenaan mendapati keadaan sesak dengan orang ramai.

Malah, aliran trafik juga sesak di beberapa laluan terutama di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Sultan Sulaiman, Jalan Raja Laut, Jalan Bunus, Jalan Munshi Abdullah, Jalan Dang Wangi dan Jalan Bukit Bintang.

Pegawai dan anggota penguat kuasa membabitkan Polis Dang Wangi, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) turut dilihat berada di kawasan berkenaan bagi mengawal keselamatan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 April 2022 @ 3:33 PM