Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Sebanyak 95,000 peluang pekerjaan dalam sektor perusahaan sosial disasarkan menjelang tempoh lapan tahun lagi melalui Rangka Tindakan Keusahawanan Sosial 2030 (SEMy2030).

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Tan Sri Noh Omar berkata, 95,000 pekerjaan itu boleh diwujudkan melalui jangkaan 10,000 perusahaan sosial yang berdaftar dengan kementerian yang akan menghasilkan nilai perolehan sebanyak RM2.6 bilion.

Mengulas lanjut, katanya, SEMy2030 akan mewujudkan ekosistem keusahawanan sosial yang ideal bagi mengarus perdana perusahaan sosial dalam ekonomi dan menormalisasi impak sosial dan alam sekitar yang dihasilkan menjelang 2030.

"Melalui SEMy2030 kita meletakkan lima sasaran supaya keusahawanan sosial turut terbabit memberi bantuan sosial kepada golongan rakyat memerlukan kerana kita perlukan sokongan pihak swasta.

"Kita meletakkan sasaran dalam aspek bilangan perusahaan sosial yang berdaftar, peratusan perusahaan sosial yang diakreditasi, nilai perolehan, bilangan pekerjaan yang diwujudkan dan penambahbaikan kedudukan Malaysia dalam indeks tempatan serta antarabangsa.

"Sehingga kini, SEMy2030 sudah mewujudkan 3,900 pekerjaan yang dijangka meningkat kepada 47,000 pada 2025 dan 95,000 pada 2030," katanya pada sidang media selepas pelancaran SEMy2030 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, di sini, hari ini.

Pada masa sama, Noh berkata, sejak dilaksanakan pada 2021 sehingga kini, 414 syarikat sudah berdaftar sebagai perusahaan sosial dan jumlah itu disasarkan meningkat kepada 5,000 pada 20245 dan 10,000 (2030).

Katanya, sehingga kini, RM100 juta nilai perolehan berjaya dihasilkan daripada 413 perusahaan sosial berdaftar.

ISMAIL Sabri (taiga kanan) bersama Noh Omar (kanan) pada Majlis Pelancaran SEMy 2030. Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Suriani Ahmad (kiri). FOTO Asyraf Hamzah
ISMAIL Sabri (taiga kanan) bersama Noh Omar (kanan) pada Majlis Pelancaran SEMy 2030. Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Suriani Ahmad (kiri). FOTO Asyraf Hamzah

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 April 2022 @ 3:08 PM