YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersama Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berbuka puasa di Masjid Al-Azim, Bukit Palah, hari ini. FOTO BERNAMA
YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersama Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berbuka puasa di Masjid Al-Azim, Bukit Palah, hari ini. FOTO BERNAMA
Amir Mamat


Melaka: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berbuka puasa bersama 1,600 rakyat Melaka, di Masjid Al-Azim, Bukit Palah di sini, hari ini.

Keberangkatan tiba Seri Paduka berdua di Dataran Pusat Islam kira-kira jam 7 petang itu, diiringi Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam dan isteri, Toh Puan Asmah Abd Rahman; Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali serta isteri, Datin Seri Munirah M Yusof.

Baginda kemudiannya menyertai solat Maghrib berjemaah yang diimamkan oleh Imam Besar masjid berkenaan, Datuk Mohamad Hashim.

Siang tadi, baginda berdua mencemarkan duli ke program lawatan turun padang di Bazar Ramadan Bukit Peringgit, di sini kira-kira jam 5 petang.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dalam rangka lawatan ke Melaka selama dua hari sehingga esok.

Hari kedua lawatan esok, Al-Sultan Abdullah selaku ketua agama bagi negeri itu, berkenan menyerahkan watikah kepada 10 Ahli Majlis, Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) l, sebelum berangkat pulang kira-kira jam 12 tengah hari.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 April 2022 @ 9:03 PM