Baharom Bakar


Kuala Nerus: Masakan bubur lambuk dicampur budu dan beras direndam dengan daun pandan sememangnya sentiasa ditunggu masyarakat di daerah Kuala Nerus setiap kali Ramadan.

Program gotong-royong membabitkan 380 penduduk bagi memasak 38 kawah bubur lambuk itu turut disertai Ahli Dewan Undangan negeri (Adun) Seberang Takir, Datuk Seri Dr Ahmad Razif Abd Rahman.

Suri rumah, Zakiah Abdul Mukmin, 63, berkata budu yang dicampur ketika memasak bubur lambuk bagi menggantikan perisa termasuk garam dan gula.

Katanya, beras yang direndam dengan daun pandan selama kira-kira dua jam sebelum dimasak membangkitkan aroma yang menyelerakan.

"Bahan lain yang dicampur adalah enam kilogram isi ikan, bilis yang dikisar halus, kepala santan, sayur-sayuran dan ubi keledek.

"Daun pandan hanya digunakan ketika proses merendam beras bagi memastikan bubur lambuk mengeluarkan bau harum," katanya.

Sementara itu, Ahmad Razif berkata, program gotong-royong memasak bubur lambuk berkenaan secara tidak langsung mampu merapatkan ukhwah di kalangan masyarakat.

"Bubur lambuk yang siap dimasak kemudian diagihkan kepada penduduk untuk hidangan berbuka puasa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 April 2022 @ 5:30 PM
PESERTA gotong royong memasukkan budu ke dalam bubur lambuk. FOTO Baharom Bakar
PESERTA gotong royong memasukkan budu ke dalam bubur lambuk. FOTO Baharom Bakar