Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Sesi persekolahan kembali beroperasi seperti sedia kala tanpa sistem penggiliran mulai esok.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, esok adalah tarikh penting bagi warga KPM kerana murid-murid sekolah yang hadir secara penggiliran tidak perlu lagi menggunakan sistem berkenaan.

Katanya, kehadiran ke sekolah dan pengoperasian sekolah adalah sama seperti sebelum pandemik Covid-19.

"Mungkin kita akan melihat bagaimana anak-anak datang ke sekolah dan melihat keadaan di luar yang semakin terbuka membuatkan ada yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

"Jadi, saya menyeru jasa baik pihak Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan guru bagi memastikan kali ini sekolah akan dibuka dan tidak lagi ditutup.

"Penat tutup kena marah, bukak kena marah, buat penggiliran kena marah, tak buat kena marah, serba tidak kena. Dalam keadaan yang hampir pulih, apa yang penting kita semua mematuhi SOP yang ditetapkan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ihya' Ramadan Menteri Kanan Pendidikan bersama warga Pendidikan Kelantan, di sini, hari ini.

Pada masa sama katanya, pihaknya akan mengeluarkan garis panduan 4.0 dalam masa terdekat dengan keadaan lebih terbuka, namun memastikan segala ketetapan dibuat dapat dipenuhi.

"Ada orang tanya bila nak keluarkan garis panduan, ada yang cakap KPM lembap sedangkan nak melaksanakan sesuatu perkara bukan boleh tular begitu saja.

"Kita perlu berbincang satu persatu termasuk dengan Kementerian Kesihatan mengenai pendekatan yang perlu dilaksanakan dan apa garis panduan yang perlu dimasukkan.

"Insya-Allah dalam masa terdekat kita akan keluarkan garis panduan 4.0," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 April 2022 @ 8:09 PM