Mohammad Asyraf Khalib

PETALING JAYA: GrabPay Malaysia bekerjasama dengan kerajaan bagi memacu penggunaan transaksi tanpa tunai dalam kalangan belia dan peniaga, terutama perusahaan kecil dan sederhana (PKS) melalui program ePemula.

Program ePemula yang disasarkan bermula pada pertengahan April ini membabitkan peruntukan sebanyak RM300 juta daripada kerajaan.

Ia dijangka memanfaatkan dua juta belia berumur antara 18 hingga 20 tahun dan pelajar sepenuh masa dari institusi pengajian tinggi. 

Setiap belia yang layak akan menerima bayaran baucar kredit bernilai RM150 melalui e-dompet pilihan mereka.

Kredit itu boleh digunakan untuk melakukan sebarang transaksi tanpa tunai bagi membeli barangan seperti peranti elektronik, buku, makanan dan keperluan harian yang lain.

Selain kredit bernilai RM150 daripada kerajaan, GrabPay turut menambah lebih manfaat dengan tawaran baucar tunai tambahan untuk setiap belia. 

Image

Mereka yang layak dan menebus melalui e-dompet GrabPay akan menerima baucar tunai bernilai RM360 daripada GrabPay dan rakan kongsinya yang boleh digunakan untuk membeli-belah dalam talian. 

Antara baucar yang bakal diterima ialah baucar GrabFood RM150 dan baucar rakan niaga Grab RM60.

Kemudahan ini pasti dinantikan ramai pengguna kerana ia boleh dimanfaatkan ketika promosi Ramadan dan Raya untuk membeli-belah pakaian, makanan serta keperluan perayaan yang lain.

Ketua GrabPay Malaysia, Priyanka Madan, berkata sebagai jenama tempatan dan penyokong ekonomi digital, GrabPay berbesar hati untuk menyertai program ePemula bagi menyokong belia Malaysia. 

"Sejak pelancaran e-dompet GrabPay, kami bekerjasama dengan rakan kongsi dan agensi kerajaan untuk menggalakkan pertumbuhan transaksi tanpa tunai dan menyediakan perkhidmatan kewangan yang selamat, telus dan inklusif di seluruh negara. 

"Kami juga membantu beribu-ribu perniagaan mikro, kecil dan sederhana beralih secara dalam talian dan menerima pembayaran tanpa tunai sebagai cara untuk mengatasi sekatan kawalan pergerakan. 

"Selaras dengan objektif utama ePemula, GrabPay membahagikan kredit RM150 daripada kementerian bagi menawarkan lebih banyak peluang kepada belia yang layak untuk berbelanja secara berhemah.

"Ia juga bakal memanfaatkan ramai pengusaha perniagaan ketika mereka berusaha memulihkan semula jualan luar talian sekali gus meraih faedah daripada ekonomi digital," katanya.

Beliau turut menambah, penuntut yang layak boleh memaksimumkan penjimatan mereka dalam setiap perbelanjaan dengan tawaran lain daripada Grab. 

Bagi pengguna Grab yang melanggan GrabUnlimited, mereka sudah pasti dapat menikmati penjimatan lebih daripada RM300.

"Mereka juga mendapat GrabRewards untuk setiap transaksi GrabPay yang boleh digunakan untuk menebus baucar diskaun atau untuk pembayaran masa hadapan. Ini bermakna mereka bukan sahaja menjimat daripada perbelanjaan hari ini tetapi juga perbelanjaan masa hadapan," katanya.

Image

Sementara itu, mereka yang berjaya menebus kredit ePemula melalui GrabPay berpeluang untuk menjadi sebahagian peserta program latihan industri Grab Malaysia.

Ini bermakna, mereka berpeluang menceburkan diri dalam pelbagai projek yang menghasilkan impak kepada jutaan rakyat Malaysia di seluruh negara. 

"Selain memupuk budaya tanpa tunai dalam kalangan anak muda, kami juga ingin menyokong usaha kerajaan dalam memantapkan pendidikan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) dengan memupuk bakat digital yang tangkas dan kompeten," tambah Madan.

Menurut pelbagai kajian, pandemik mempercepatkan penggunaan e-dompet di seluruh Malaysia. 

67 peratus daripada rakyat Malaysia mempunyai akses digital melalui langganan telefon mudah alih dengan 83 peratus daripada mereka menggunakan pembayaran digital melalui e-dompet mudah alih. 

Sejak pandemik, 55 peratus rakyat Malaysia menyatakan mereka boleh bertahan selama lebih daripada seminggu tanpa sebarang wang tunai. 

Ini boleh dikaitkan dengan pertumbuhan pilihan pembayaran tanpa tunai seperti kaedah pembayaran QR dan e-dompet yang digunakan rakyat Malaysia untuk membayar bil, barangan runcit, membeli-belah di kedai runcit atau serbaneka, dan pembelian makanan.

Ia dapat disahkan menerusi laporan Bank Negara baru-baru ini yang menunjukkan bahawa transaksi e-dompet meningkat lebih daripada 70 peratus pada 2021 berbanding 2020.

Sebelum ePemula, GrabPay juga menyokong usaha lain yang diterajui kerajaan seperti ePenjana, SMO dan ReDi untuk mendigitalkan beribu-ribu perniagaan kecil seterusnya membantu mereka menerima ekonomi digital sambil menggalakkan perbelanjaan pengguna.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai GrabPay dan ePemula, klik pautan ini

  1. Tech For Good Institute
  2. Visa Consumer Payment Attitudes Study 2021
  3. Bank Negara Malaysia Annual Report 2021

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 April 2022 @ 1:15 PM