Reezal Merican (dua dari kiri) bersama Dr Syed Hussian Al-Junid (tiga dari kiri), Rafiq Razali (empat dari kiri) dan Khairul Anwar Salleh (kanan) ketika lawatannya ke Sri Pentas. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
Reezal Merican (dua dari kiri) bersama Dr Syed Hussian Al-Junid (tiga dari kiri), Rafiq Razali (empat dari kiri) dan Khairul Anwar Salleh (kanan) ketika lawatannya ke Sri Pentas. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
Irwan Shafrizan Ismail


Kuala Lumpur: Dalam usaha mempercepatkan masa respons Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), dua lagi pusat panggilan bencana dicadang diwujudkan di Pantai Timur dan Sabah.

Menterinya Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, ketika ini terdapat tiga pusat panggilan bencana dengan kerjasama Telekom Malaysia iaitu masing-masing di Melaka, Sarawak dan Kuala Lumpur.

"Sebab kita lihat ada keperluan untuk pelaporan kejadian bencana ini dapat dilakukan dengan cepat dan tepat.

"Masalahnya bila orang di Sabah buat laporan tapi sambungan ke pusat panggilan di Melaka, kadang yang jawab panggilan tidak faham dialek bahasa Sabah. Jadi kita mungkin nak lihat ada pusat panggilan di pantai timur dan Sabah.

"Kita hendak tingkatkan dari segi masa respons, sebab saya lihat keyakinan rakyat benar-benar terbina bila nampak pasukan wira merah ini. Kalau dulu ikut piawaian antarabangsa lapan minit, tapi saya minta turunkan lagi," katanya.

Beliau berkata demikian selepas program 'Rahmat Ramadan KPKT' di Sri Pentas di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Kumpulan Media Prima Berhad (MPB), Datuk Dr Syed Hussian Al-Junid; Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima, Rafiq Razali dan Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima dan Primeworks Studios, Datuk Khairul Anwar Salleh.

Reezal berkata, kementeriannya juga melihat keperluan menambah aset bomba, khususnya bagi membolehkan jabatan itu menjalankan tugas menyelamat dengan lebih baik.

"Dalam operasi menyelamat, kita melihat keperluan untuk meningkatkan peralatan terkini seperti boya kawalan jauh dan sebagainya supaya adanya pengaplikasian teknologi dan aset terkini," katanya.

Sementara itu mengulas program di Sri Pentas, beliau berkata, kunjungan lebih kepada memperkukuh ukhuwah antara MPB dan kementerian.

Beliau sempat meluangkan masa melawat bilik berita Jabatan Berita dan Ehwal Semasa Media Prima Berhad sambil menyampaikan sumbangan Ramadan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 April 2022 @ 9:01 PM