GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
BERNAMA

Kuala Lumpur: Seramai 164,375 kanak-kanak berumur antara lima hingga 11 tahun atau 4.6 peratus daripada populasi berkenaan di negara ini lengkap menerima vaksinasi Covid-19 di bawah Program Imunisasi Kanak-Kanak Covid-19 Kebangsaan (PICKids), setakat semalam.

Berdasarkan laman web COVIDNOW, seramai 1,368,326 kanak-kanak dalam kumpulan sama atau 38.5 peratus sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Bagi remaja berumur antara 12 hingga 17 tahun, seramai 2,862,105 individu atau 92 peratus sudah lengkap divaksinasi, manakala 2,963,947 atau 95.3 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Bagi populasi dewasa pula, seramai 15,933,049 individu atau 67.7 peratus sudah menerima dos penggalak, manakala 22,957,974 atau 97.6 peratus sudah melengkapkan kedua-dua dos vaksin dan 23,235,033 atau 98.8 peratus sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Sebanyak 46,823 dos vaksin diberikan semalam, membabitkan 32,183 sebagai dos kedua, 10,180 sebagai dos penggalak dan 4,460 dos pertama, menjadikan jumlah kumulatif dos vaksin yang diberikan di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) sebanyak 69,272,251.

Sementara itu, menurut portal GitHub Kementerian Kesihatan, 19 kematian akibat Covid-19 dilaporkan di Malaysia semalam, dengan Selangor mencatatkan jumlah tertinggi iaitu empat kes, diikuti Johor, Kedah, Pahang, Perak, Sarawak dan Kuala Lumpur dengan masing-masing dua kes. .

Melaka, Pulau Pinang dan Terengganu masing-masing merekodkan satu kes.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 April 2022 @ 8:43 AM