DATUK Idris Ahmad. FOTO Bernama
DATUK Idris Ahmad. FOTO Bernama
BERNAMA

Klang: Kemudahan jumlah subsidi bagi menunaikan ibadah haji tahun ini akan diputuskan setelah jumlah kuota haji negara diketahui dan dimuktamadkan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad.

"Apabila kita sudah dapat bilangan kuota (haji) sebenar, insya-Allah kita akan duduk (berbincang) untuk memuktamadkan jumlah subsidi yang diberikan," katanya ringkas ketika diminta mengulas berhubung perkembangan subsidi haji selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Infaq Kasih Ramadan Kawasan Kapar, di sini hari ini.

Jumaat lalu, Idris memaklumkan kerajaan memberi jaminan kemudahan subsidi bagi menunaikan ibadah haji diteruskan tahun ini, bagaimanapun kadar yang akan ditanggung masih belum diputuskan.

Sementara itu, mengulas mengenai titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah semalam bahawa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tidak boleh mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung keputusan yang dibuat oleh Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI), Idris berkata, titah itu sudah jelas.

Sultan Sharafuddin yang juga Pengerusi MKI dilaporkan bertitah, sebarang kenyataan berhubung keputusan yang dibuat oleh jawatankuasa tersebut adalah di bawah bidang kuasa Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah, MKI dan Majlis Raja-Raja.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 April 2022 @ 1:27 PM