DATUK Seri Takiyuddin Hassan
DATUK Seri Takiyuddin Hassan
Noor Atiqah Sulaiman


Putrajaya: Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berpuas hati dengan kerja membaik pulih Stesen Janakuasa Sultan Mahmud (SJSM) yang dijalankan oleh Tenaga Nasional Bhd (TNB).

Stesen berkenaan dihentikan sementara operasinya sejak 27 Februari lalu selepas dilanda tanah runtuh akibat hujan lebat berterusan selama 72 jam.

Takiyuddin yang melakukan tinjauan di tapak operasi berkenaan pada Khamis lalu berkata, usaha untuk memulihkan stesen berkenaan dilihat berjalan lancar dan kini sudah memasuki fasa pemulihan kejuruteraan dan mengikut perancangan ia akan beroperasi semula menjelang hujung tahun ini.

"Selepas 40 hari sejak kejadian, saya melihat pemulihan dilaksanakan secara terbaik dan pantas. Ia dilaksanakan secara berperingkat dan perlu disegerakan," katanya turut meninjau kawasan SJSM dan Kenyir dari udara.

Sebelum ini, media melaporkan operasi SJSM di Kenyir dekat Hulu Terengganu ditutup sementara berikutan menara penghantaran voltan tinggi yang menyalurkan bekalan elektrik dari SJSM kepada Grid Nasional tumbang akibat kejadian tanah runtuh.

Takiyuddin turut melawat beberapa lokasi lain termasuk jambatan Bailey berhampiran stesen, menara penghantaran, kawasan empangan serta pencawang masuk utama sebelum diberikan taklimat mengenai pengurusan krisis oleh Pengurus Besar, State Stakeholder Affairs (Kelantan/Terengganu) TNB, Mustaphakamal Yaacob.

Lawatan itu turut dihadiri Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Takiyuddin turut memuji kemampuan TNB memastikan pembekalan tenaga elektrik di Terengganu tidak terjejas sepanjang usaha pemulihan.

Beliau juga sempat berbincang dengan Baharin serta Ahmad Samsuri untuk terus bekerjasama membabitkan pelbagai jabatan berkaitan dalam menyempurnakan kerja pemulihan berkenaan.

Berikutan kejadian berkenaan, TNB mengaktifkan Pelan Kesinambungan Bisnesnya (pelan tindakan kecemasan) termasuk penyelarasan dengan pihak berkepentingan, agensi kerajaan dan jabatan lain di TNB.

Sementara itu, Baharin berkata, fasa kedua pemulihan termasuk penyenggaraan peralatan dan aset penjanaan dijangka selesai Jun, diikuti fasa ketiga ke arah pemulihan operasi.

Katanya, keseluruhan proses pemulihan mengambil masa hampir enam bulan dalam usaha memastikan keselamatan stesen berada dalam keadaan terkawal sepenuhnya.

"Pelaksanaan langkah pemulihan bagi mengembalikan operasi SJSM turut merangkumi penilaian impak kejadian kepada struktur empangan.

"Penilaian mendapati integriti struktur empangan kekal kukuh dan selamat. Keadaan di sekitar Tasik Kenyir juga dijamin selamat," katanya.

TNB turut mendapatkan khidmat pakar perunding luar untuk membuat penilaian terperinci integriti empangan selain bekerjasama dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi memantau keadaan cerun termasuk lima lokasi tanah runtuh di laluan menuju SJSM.

SJSM yang mempunyai empat unit turbin hidro untuk menjana 100MW setiap satu adalah satu daripada dua loji penjanaan di Kenyir.

Sebuah lagi loji dikenali sebagai Stesen Janakuasa Hulu Terengganu (SJHT). Tasik Kenyir mempunyai keluasan 36,900 hektar dengan keluasan kawasan tadahan 260,000 hektar

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 April 2022 @ 1:02 PM