Syaherah Mustafa


Kota Bharu: Sambutan pengunjung di kedai 'colek' sekitar Kota Bharu dilihat meriah pada malam pertama Ramadan selepas dua tahun masyarakat tidak dapat menikmati suasana berkenaan akibat pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) sebelum ini.

Tinjauan ke beberapa kedai mendapati pengunjung mula berpusu-pusu 'menyerbu' kedai 'colek'seawal jam 8 malam, malah ada antara peniaga tidak menang tangan melayan pelanggan yang ramai dan beratur panjang.

Kedai 'colek' menjadi pilihan pengunjung di Kelantan setiap kali Ramadan, yang mana menyediakan pelbagai jenis pilihan makanan seperti rojak buah, rojak ayam, makanan laut celup tepung, popia goreng, kerang rebus dan variasi salad yang dikenali sebagai somtam betik atau mangga.

Peniaga, Zulkifli Omar, 59, berkata pengunjung mula datang di kedai 'colek' miliknya lebih awal daripada waktu dia mula berniaga iaitu pada jam 9 malam, dan jumlah pelanggan semakin bertambah selepas solat Tarawih.

"Saya sendiri teruja dengan sambutan pelanggan selepas dua tahun terpaksa menutup operasi jualan 'colek' susulan pandemik Covid-19, kini apabila kerajaan membenarkan kedai dibuka, saya gunakan dengan sebaiknya untuk mencari pendapatan.

"Malam ini (malam semalam) pengunjung agak ramai bukan sahaja dari Kota Bharu malah jajahan lain seperti Pasir Mas, Tumpat, Pasir Puteh dan Bachok yang tidak ingin melepaskan peluang merasai aneka pilihan colek di kedai ini.

ZULKIFLI Omar, 59 menunjuk  pelbagai jenis pilihan colek yang dijual di Kedai 'Colek' Pokok Kekuk Jalan Dato Lundang, di sini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
ZULKIFLI Omar, 59 menunjuk pelbagai jenis pilihan colek yang dijual di Kedai 'Colek' Pokok Kekuk Jalan Dato Lundang, di sini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

"Biasanya di awal Ramadan jumlah pelanggan masih dianggap sebagai biasa sahaja dan ia akan bertambah dua kali ganda pada malam akhir puasa," katanya ketika ditemui di kedai 'colek' Pokok Kekuk, Jalan Dato Lundang, di sini, malam tadi.

Zulkifli berkata dalam keterujaan melayan pelanggan yang ramai, dia tidak lupa untuk memastikan setiap pelanggan serta pekerjanya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelak sebarang perkara yang tidak diingini.

Sementara itu, pelanggan, Abdullah Sani Mohd Farizal, 31, mengambil peluang membawa keluarganya menikmati colek di salah sebuah kedai di Kota Bharu kerana menganggap ia sebagai suatu kewajipan setiap kali menyambut puasa.

"Saya sendiri terkejut melihat orang yang sangat ramai di kebanyakan kedai 'colek', namun memahami situasi berkenaan kerana mereka juga seperti saya yang merindui suasana malam serta nikmat makan 'colek' seperti sebelum ini.

"Tradisi makan 'colek' ini sebenarnya bukan sahaja dapat mengenyangkan tetapi dalam masa sama dapat mengeratkan hubungan antara sahabat dan keluarga yang mana biasanya ia seronok dimakan dalam kelompok yang ramai.

"Terima kasih kepada kerajaan yang membenarkan operasi perniagaan dan melonggarkan sedikit SOP kepada rakyat, sekali gus mengembalikan kemeriahan Ramadan sebagaimana sebelum Covid-19 melanda," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 April 2022 @ 10:50 AM