Syaherah Mustafa


Rantau Panjang: Sebanyak 31 kes penyeludupan barangan kawalan dan bersubsidi membabitkan nilai RM1.71 juta ditumpaskan di pintu sempadan seluruh negara sejak Januari tahun ini Februari lalu.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Rosol Wahid berkata, pihaknya memandang serius isu ketirisan barangan kawalan dan bersubsidi terutama di pintu sempadan negara kerana ia memberi impak negatif selain merugikan negara.

"Kawalan sempadan terus diperketatkan di setiap negeri yang terbabit terutama selepas kerajaan mengumumkan pembukaan semula sempadan negara, hari ini bagi memastikan ketirisan barang kawalan dibanteras sepenuhnya.

"Peringatan turut diberikan kepada peniaga agar lebih bertanggungjawab apabila berurus niaga dengan barangan kawalan selain tidak melanggar undang-undang negara.

"Tindakan tegas mengikul Akta Kawalan Bekalan 1961 akan diambil kepada mana-mana individu yang cuba melakukan penyelewengan atau penyeludupan barangan ini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melakukan lawatan kerja di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang, di sini, hari ini.

Datuk Rosol Wahid (kanan) hadir melawat  di pintu masuk sempadan Malaysia-Thailand di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS), Rantau Panjang, Sungai Golok pada pagi ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Datuk Rosol Wahid (kanan) hadir melawat di pintu masuk sempadan Malaysia-Thailand di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS), Rantau Panjang, Sungai Golok pada pagi ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

Turut hadir, Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Azman Adam.

Hadir sama, Pengarah KPDNHEP Kelantan, Adnan Abd Rahman, dan Ketua Pegawai Penguatkuasa negeri Azanizam Affendi Juri.

Rosol berkata, kerjasama pelbagai agensi seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) turut membantu pihak KPDNHEP.

"Isu penyelewengan barang kawalan di sempadan antarabangsa Malaysia yang terdiri daripada Thailand, Indonesia, Brunei dan Singapura adalah perkara utama yang menjadi perhatian pihak kementerian.

"Justeru, masyarakat setempat digalakkan untuk turut membantu dengan menjadi mata dan telinga pihak berkuasa bagi menyalurkan maklumat berhubung kes penyelewengan ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 April 2022 @ 3:40 PM