Rafidah Mat Ruzki


Putrajaya: Perjanjian persefahaman (MoU) kerjasama dalam perubatan tradisional antara Malaysia dan China yang ditandatangani pagi ini mencerminkan komitmen kedua-dua negara untuk menggalak, mempermudah, mempromosi kerjasama dari segi amalan, bahan mentah, produk, pendidikan, latihan dan penyelidikan membabitkan cabang perubatan berkenaan.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) ketika ini komited bagi membangunkan bidang perubatan tradisional dan komplementari dengan visi untuk mengintegrasikan dengan bidang perubatan moden.

Menurutnya, ia sebagai suatu usaha meningkatkan kesihatan dan kualiti hidup semua rakyat Malaysia.

Katanya, bagi mencapai visi itu, industri perubatan tradisional dan komplementari akan diprofesionalkan dengan memastikan perkhidmatan perubatan tradisional dan komplementari adalah selamat, berkualiti dan boleh diakses oleh semua.

Khairy berkata, perubatan tradisional di Malaysia adalah unik kerana ia mempunyai sejarah tersendiri berasaskan kepelbagai warisan, budaya, bahasa, dan bangsa di Malaysia.

KHAIRY Jamaluddin berucap pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU). FOTO Bernama
KHAIRY Jamaluddin berucap pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU). FOTO Bernama

"Perubatan tradisional sentiasa berperanan penting dalam penjagaan kesihatan rakyat Malaysia. Selain itu, di Malaysia, penyelidikan dalam perubatan tradisional dan komplementari masih dalam peringkat permulaan.

"Justeru, pengetahuan dan kepakaran luas dimiliki oleh pihak China dalam perubatan tradisional sudah tentu akan dapat memberi manfaat kepada Malaysia lebih-lebih lagi dalam aktiviti penyelidikan termasuk aspek pencegahan dan rawatan penyakit berjangkit dan tidak berjangkit," katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Menandatangani MoU Kerjasama dalam Bidang Perubatan Tradisional antara Kerajaan Malaysia dan China, secara dalam talian, hari ini.

MoU itu ditandatangani Khairy mewakili Malaysia dan Pesuruhjaya Pusat Pentadbiran Perubatan Tradisional Cina Kebangsaan, Dr Yu Wenming mewakili China.

Khairy berkata, hasil kajian yang berkenaan akan membantu Malaysia dalam menetapkan dasar bersesuaian untuk mengurangkan beban penyakit di Malaysia.

Katanya, KKM berharap rangkaian komunikasi yang berkesan dapat terus dimantapkan bagi tujuan pertukaran maklumat teknikal, saintifik dan kawal selia yang seterusnya akan memudahkan proses pembuatan dasar dan strategi yang bersesuaian dalam memastikan penggunaan perkhidmatan dan produk perubatan tradisional yang selamat dan berkesan untuk kesejahteraan orang ramai.

Tambahnya, MoU itu juga selaras dengan aspirasi Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan juga Kerajaan Malaysia yang mengiktirafkan sumbangan sistem perubatan tradisional dalam melengkapkan sistem perubatan konvensional serta membolehkan negara bergerak ke arah kesihatan yang lebih baik.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Mac 2022 @ 1:06 PM