GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Kerajaan bersetuju untuk memberi fokus terhadap usaha modenisasi dan menggalak pertanian pintar sebagai mekanisme pemulihan ekonomi negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) mengambil maklum hala tuju sektor agro makanan negara yang sudah digariskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

"Perbincangan membabitkan pembentangan oleh pihak Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Syarikat Aerodyne Group bersama ahli EAC dan tokoh usahawan tani Malaysia.

"Kerajaan pada prinsipnya bersetuju supaya MAFI berbincang dengan kerajaan-kerajaan negeri bagi menangani masalah tempoh Lesen Pendudukan Sementara (TOL) yang dihadapi oleh usahawan-usahawan tani untuk pertanian.

"Ia supaya dapat memanjangkan tempoh sewaan atau pajakan bagi mewajarkan pelaksanaan projek pertanian berdaya maju," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ismail berkata, tiga kertas dibentangkan dalam mesyuarat berkenaan iaitu Cadangan Modenisasi dan Pertanian Pintar Melalui Pemerkasaan Taman Kekal Pengeluaran Makanan, Pembangunan Bakat Usahawan Tani Negara 2022-2027 dan Transformasi Pertanian Malaysia.

"Mesyuarat bersetuju ketiga-tiga kertas berkenaan dinilai secara bersekali sebagai inisiatif komprehensif mengukuhkan sektor pertanian negara.

"Mesyuarat juga menetapkan bahawa Sekretariat EAC; Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri; Kementerian Kewangan (MOF) dan MAFI mengambil tindakan selanjutnya.

"Ia bagi melaksanakan cadangan kerjasama awam swasta yang dibentangkan oleh Aerodyne Group melalui kertas pembentangan Transformasi Pertanian Malaysia dan keperluan tanah berkeluasan 40 hektar bagi Projek Perintis," katanya.

Beliau berharap supaya sektor tani dan industri pengeluaran makanan negara dapat bergerak maju dan memacu usaha pemulihan ekonomi demi kesejahteraan negara dan Keluarga Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Mac 2022 @ 6:35 PM