FOTO ARKIB NSTP
FOTO ARKIB NSTP
Oleh Mohd Amin Jalil


Seremban: Pengusaha bas sekolah terus dirundung malang berikutan kesukaran beroperasi ketika sesi persekolahan bermula hari ini susulan situasi pandemik Covid-19.

Pengerusi Persatuan Pengusaha Bas Sekolah Negeri Sembilan (PPBSNS), Mohd Rofik Mohd Yusof, berkata, isu utama adalah membabitkan yuran bulanan yang perlu dijelaskan ibu bapa pelajar.

Menurutnya, ramai ibu bapa masih berkira-kira untuk menggunakan perkhidmatan bas sekolah berikutan sistem penggiliran dilaksanakan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

"Kami sudah mencadangkan supaya tambang bas sekolah dibayar penuh oleh ibu bapa sepanjang tahun tanpa mengambil kira cuti persekolahan.

"Melalui kaedah itu, ia dapat meringankan sedikit beban pengusaha yang perlu menyediakan kos operasi yang tinggi termasuk insurans, cukai jalan, Puspakom (Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer) dan sebagainya," katanya selepas Mesyuarat Agong PPBSNS Kali Ke-20 di sini, tadi.

Menurutnya, GPBSM turut meminta kerajaan mempertimbangkan supaya pemeriksaan bas sekolah di Puspakom dilaksanakan setahun sekali.

"Ia bagi memudahkan pengusaha bas sekolah menghadirkan diri bagi pemeriksaan Puspakom memandangkan sistem tempahan dalam talian sedia ada memerlukan janji temu dan agak merumitkan,' katanya.

Justeru, Mohd Rofik yang juga Pengerusi PPBSNS berkata satu penyelesaian drastik perlu dilakukan pihak berkaitan bagi menangani perkara itu sekali gus membantu mengurangkan beban pemandu bas yang bergantung kepada pekerjaan itu bagi meneruskan kehidupan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Mac 2022 @ 3:49 PM