Hazsyah Abdul Rahman


Sandakan: Bekas guru disiplin sekolah menengah dihukum penjara tujuh tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini kerana melakukan amang seksual terhadap pelajar perempuan, pada 2019.

Hukuman diputuskan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud selepas tertuduh, Mohd Faiz Ismail, 33, didapati bersalah mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Mengikut pertuduhan, Mohd Faiz didakwa melakukan amang seksual terhadap pelajar perempuan yang ketika kejadian berusia 17 tahun 11 bulan, pada Julai 2019 di bilik kaunseling sebuah sekolah di sini.

Mengikut fakta kes, tertuduh didakwa memanggil mangsa masuk ke bilik berkenaan dan mengarahkan mangsa supaya mengunci pintu serta meminta mangsa duduk di kerusi sebelum menghampirinya.

Tertuduh didakwa merampas telefon bimbit mangsa dan memeriksa telefon itu selain bertanya sama ada mangsa pernah melakukan hubungan seks selain berminat untuk melakukan bersamanya.

Dia dituduh melakukan amang seksual dan menyebabkan mangsa terkejut serta melarikan diri

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mark Kenneth Netto manakala, tertuduh diwakili peguam Hamid Ismail.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Mac 2022 @ 7:31 PM