Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Polis berjaya merampas 478.8 kilogram (kg) dadah dianggarkan bernilai RM1.53 juta serta menahan dua lelaki tempatan dalam serbuan di Kuala Langat dan Klang, Selasa lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, dalam serbuan kira-kira jam 12 tengah hari itu, suspek berumur 31 tahun dan 47 tahun ditahan ketika berhenti di sebuah stesen minyak di Kuala Langat.

"Tangkapan kedua-dua suspek itu membawa kepada penemuan 468.8 kg dadah disyaki jenis ganja dan 10 kg disyaki jenis syabu di sebuah pangsapuri yang dijadikan stor penyimpanan dan pembungkusan dadah di Klang pada hari sama.

"Dadah jenis ganja yang dirampas mempunyai gred dan harga yang berbeza iaitu Gred 2 (RM2,800/kg), Gred 3 (RM2,500/kg) dan Gred 4 (RM2400/kg)," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, di sini hari ini.

Ayob Khan berkata, modus operandi sindiket adalah menyeludup masuk dadah jenis ganja melalui jalan darat di sempadan Malaysia - Thailand untuk pasaran Lembah Klang,

"Polis percaya ganja yang dirampas dari negara Laos dibawa masuk melalui utara Semenanjung.

"Kalau ikut trendnya, kebiasaannya pada Mac dan Oktober adalah musim menuai (ganja). Tetapi sekarang di Laos adalah sepanjang tahun aktiviti menuai ini dijalankan, sebab itu kita lihat banyak kebelakangan ini rampasan dibuat oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) di sempadan utara negara membabitkan dadah jenis ganja," katanya.

Dalam serbuan itu katanya, polis turut menyita pelbagai aset sindiket yang dianggarkan bernilai RM88,496 di mana jumlah keseluruhan dadah serta sitaan RM1.62 juta.

"Siasatan mendapati, kedua-dua suspek dipercayai terbabit dengan aktiviti pengedaran dadah terbabit dan mula aktif awal bulan ini.

"Saringan awal ke atas suspek yang ditangkap adalah positif dadah jenis Tetra Hydrocannibol (THC).

"Semakan rekod jenayah mendapati, salah seorang suspek mempunyai satu rekod lampau kes jenayah mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan," katanya.

Ayob Khan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan suspek direman selama tujuh hari sehingga 22 Mac bagi membantu siasatan.

"Siasatan masih dijalankan untuk melihat sama ada mereka mempunyai hubungan dengan sindiket lain atau masih ada saki baki anggota sindiket yang bebas.

"Tindakan ke atas suspek juga diambil mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988," katanya.

Dalam perkembangan lain, pihaknya sudah menyiapkan kertas siasatan berhubung tangkapan sembilan penguat kuasa yang menjual dadah yang dirampas.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Mac 2022 @ 3:02 PM