Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Beberapa pusat mengundi di sekitar bandar raya ini dilihat lengang dengan tidak ramai pengundi hadir setakat jam 2 petang tadi.

Tinjauan di pusat mengundi Sekolah Kebangsaan (SK) Perumahan Tampoi 2 dan di SK Taman Sutera mendapati ramai pengundi datang seawal pusat mengundi dibuka.

Namun jumlah pengundi dilihat semakin berkurangan pada jam 11 pagi tadi dan terus lenggang menjelang jam 12 tengah hari hingga dua petang.

Menerusi pemerhatian yang dilakukan antara golongan yang dilihat ramai hadir ke pusat mengundi adalah pengundi berusia 30 hingga 40-an, pengundi warga emas selain golongan pengundi baharu serta automatik berusia 18 hingga 29 tahun.

Beberapa pengundi yang ditemui turut menyatakan mereka hanya mengambil masa antara lima hingga 10 minit sahaja sebelum selesai proses pengundian, berbanding terpaksa beratur lama pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14 lalu).

Pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin, Raja Ariza Raja Abdul Rahman, berkata beliau hadir seawal jam 9 pagi ke pusat mengundi berikutan risau terpaksa beratur panjang dan menunggu lama.

"Namun agak terkejut apabila mendapati tidak ramai yang beratur malah selesai mengundi hanya dalam tempoh kurang 10 minit.

"Rasanya ramai akan mengundi di saat-saat akhir kerana menganggap ramai yang hadir mengundi pada waktu pagi dan tengah hari apatah lagi tempoh mengundi dilanjutkan sehingga jam 6 petang," katanya ketika dihubungi.

Sejumlah 40 peratus pengundi keluar menunaikan tanggungjawab mereka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, setakat jam 2 petang tadi.

Seramai 239 calon daripada 11 parti politik dan Bebas bertanding merebut 569 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN Johor Ke-15.

Proses pengundian PRN Johor bermula jam 8 pagi membabitkan seramai 2,539,606 layak mengundi di 1,021 pusat mengundi, membabitkan 4,638 saluran.

Jumlah pengundi di Johor mencatatkan peningkatan kira-kira 28 peratus berbanding hanya 1.8 juta pengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dengan penambahan 749,731 pengundi berusia 18 tahun ke atas susulan pendaftaran automatik Undi18.

Kerajaan Johor sebelum ini dilaporkan memiliki majoriti tipis dengan 28 kerusi berbanding 27 kerusi di blok pembangkang berikutan kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, Datuk Osman Sapian yang juga bekas Menteri Besar, pada 21 Disember lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Mac 2022 @ 3:22 PM