ROKOK dirampas PGA Sri Aman di rumah tidak berpenghuni di pekan Pusa tengah hari semalam. FOTO Ihsan PDRM
ROKOK dirampas PGA Sri Aman di rumah tidak berpenghuni di pekan Pusa tengah hari semalam. FOTO Ihsan PDRM
Erika George

Sri Aman: Pasukan Gerakan Am (PGA) Sri Aman merampas rokok pelbagai jenama tanpa cukai bernilai RM129,738 pada serbuan di sebuah rumah tidak bernombor di pekan Pusa, jam 1 tengah hari semalam.

Komander Briged Sarawak Senior Asisten Komisioner Saini Bongkek pada kenyataan berkata, serbuan dijalankan Kompeni C, Batalion 10 PGA Sri Aman.

"Kami menemui rokok terbabit di dalam rumah berkenaan.

"Kami menunggu selama dua jam namun tiada individu tampil mengaku pemilik rokok terbabit," katanya.

Rokok terbabit diserah kepada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Betong.

Saini berkata, taktik terkini sindiket ialah menyimpan barangan tidak bercukai itu di premis tidak berpenghuni dan ia bagi mengaburi pihak berkuasa.

Rokok terbabit pula untuk pasaran sekitar pekan Pusa.

Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Mac 2022 @ 3:48 PM