GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP
GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP
Mohamed Farid Noh dan Mahaizura Abd Malik

Johor Bahru: Kebanyakan pekerja Malaysia di Singapura gagal mendaftar undi pos di laman web Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), sekali gus menyebabkan mereka tidak dapat mengambil bahagian dalam proses pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Ia berikutan pada Jumaat lalu, SPR memaklumkan hanya sebanyak 7,814 undi pos dikeluarkan bagi kategori Borang 1B (warganegara Malaysia yang berada di luar negara) berbanding dengan anggaran 200,000 pekerja Malaysia di Singapura yang dianggarkan kerajaan negeri.

Shahruddin Haeal Helmy Mohd Noh, 35, rakyat Malaysia di Singapura berkata, permohonannya memohon bagi undi pos di laman web SPR ditolak dua kali sehinggalah tarikh akhir permohonan ditutup.

Beliau berkata, ramai pekerja Malaysia di Singapura yang mencuba membuat permohonan, namun ia tidak berjaya berikutan sama ada permohonan mereka ditolak dan sistem permohonan secara dalam talian tidak berjaya diakses semula.

"Saya dan ramai lagi rakan kecewa dan ralat kerana gagal terbabit dalam PRN Johor sedangkan kami memang menanti peluang melaksanakan tanggungjawab mengundi.

"Saya harap SPR akan mengatasi isu teknikal yang menyebabkan banyak permohonan pekerja Malaysia ditolak dan berlaku masalah teknika menyebabkan laman web tidak dapat diakses sehinggalah tarikh pernohonan ditutup," katanya ketika dihubungi.

Pada 1 Februari lalu pengundi Johor yang bekerja di Singapura dilaporkan boleh memohon untuk menjadi pengundi pos pada PRN Johor.

Pengerusi SPR Datuk Abdul Ghani Salleh, dilaporkan berkata pengundi berkenaan boleh mengemukakan permohonan dalam tempoh yang akan ditetapkan SPR selepas mesyuarat khas berhubung PRN berkenaan pada 9 Februari.

Minggu lalu, Menteri Besar Datuk Seri Hasni Mohammad dilaporkan berkata, dianggarkan hampir 200,000 rakyat negeri ini yang menetap di Singapura layak mengundi secara pos dalam PRN Johor.

Hasni dilaporkan berkata, angka itu diperoleh daripada rekod pendaftaran di aplikasi ImmuPlan iaitu platform vaksinasi kerajaan negeri yang melaksanakan semua jenis program dan inisiatif membabitkan pembekalan vaksin.

Beliau dilaporkan berkata, daripada 300,000 rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura, dianggarkan hampir 200,000 adalah rakyat Johor yang layak mengundi pada PRN kali ini.

Dalam pada itu, seorang lagi pekerja Malaysia di Singapura, Yusman Yusof berkata, beliau memilih untuk tidak membuat permohonan undi secara pos walaupun tahu ia merugikan hak rakyat terbabit dalam proses demokrasi.

"Kebanyakan rakyat memang berminat nak mengundi tetapi apabila sistem permohonan rumit dan berdepan masalah teknikal, menyebabkan ramai yang kecewa dan putus asa.

"Lagi pula nasib kami rakyat Malaysia di Singapura seolah-olah tidak diperjuangkan pihak berkuasa di Malaysia dengan Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) antara Malaysia-Singapura juga kuantitinya sangat terhad sehingga kami terpaksa berebut-rebut dan masih ramai tidak berpeluang untuk pulang ke Malaysia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Mac 2022 @ 4:50 PM