MUHAMMAD Ammar (kiri) dan adiknya, Muhammad Amsyar bersemangat dan ceria ketika menunggu untuk berkhatan. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad
MUHAMMAD Ammar (kiri) dan adiknya, Muhammad Amsyar bersemangat dan ceria ketika menunggu untuk berkhatan. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad
Meor Riduwan Meor Ahmad

Melaka: "Sebelum ni anak-anak ada mengadu takut tapi selepas tengok babak Upin dan Ipin bersunat, mereka jadi bersemangat," kata juru X-ray Siti Asmah Ali, 39, dari Bukit Beruang, di sini.

Dua anaknya, Muhammad Ammar Mohd Redzwan, tujuh tahun, dan Muhammad Amsyar, enam tahun, antara 16 peserta Program Berkhatan Beramai-Ramai Kanak di Masjid Nur As-sa'adah, Kampung Pengkalan Batu di sini tadi.

Program sempena cuti persekolahan itu dianjurkan oleh jawatankuasa masjid itu diketuai Pengerusinya Datuk Amzah Osman.

Menurut Siti Asmah dia mengetahui program itu pada minggu lalu dan terus menghubungi penganjur untuk memasukkan nama dua anaknya.

"Program berkhatan beramai-ramai ini amat bagus kerana dapat mengurangkan rasa takut anak-anak selain lebih mudah dan cepat kerana dibuat di dewan masjid," katanya ditemui pada majlis itu.

Sementara itu, Guru Tadika, Ili Syazwani Basirun, 31, turut senada dan memuji penganjuran program khatan kanak-kanak beramai-ramai.

Katanya, dia bersyukur apabila dua anaknya tidak dikenakan sebarang bayaran untuk berkhatan sekali gus dapat berjimat.

"Kalau hantar bersunat di klinik swasta, kos seorang sahaja antara RM150 hingga RM200.

Alhamdulillah anak-anak dah selesai berkhatan pada usia muda dan mereka kelihatan sihat," katanya.

Sementara itu Amzah berkata, penganjuran program sulung itu selari matlamat untuk menjadikan masjid mesra komuniti serta mengurangkan beban masyarakat.

Katanya, secara tidak langsung program sebegitu dapat menangkis stigma masyarakat yang hanya beranggapan masjid ini sebagai mengembangkan program keagamaan semata.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Mac 2022 @ 4:12 PM