GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Asrol Awang


Kuantan: Penolong Pegawai Tanah di Pejabat Daerah dan Tanah Pekan maut selepas kenderaan dipandunya terbabit dalam kemalangan dengan dua kenderaan lain di Jalan Tanjung Lumpur, di sini, hari ini.

Dalam kejadian pada 7,50 pagi, mangsa Ahmad Syaheer Yahaya, 38, yang memandu Perodua Myvi disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Manakala, dua individu lain yang menaiki pacuan empat roda mengalami kecederaan, sementara seorang lagi mangsa yang menaiki Proton Saga tidak cedera.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila kenderaan dipandu mangsa dari arah pusat bandar ke Tanjung Lumpur dipercayai hilang kawalan.

"Setibanya di lokasi kejadian melepasi kawasan selekoh, tiba-tiba kereta dipandu Ahmad Syaheer dipercayai terbabas lalu masuk ke laluan bertentangan.

"Pada sama sama, pacuan empat roda dipandu peniaga berusia 28 tahun bersama kanak-kanak perempuan berusia empat tahun dari arah bertentangan tidak sempat mengelak lalu melanggar Perodua Myvi itu.

"Manakala, Proton Saga dipandu pekerja restoran berusia 57 tahun yang berada di belakang pacuan empat roda itu gagal mengelak lalu melanggar bahagian belakang kiri kenderaan terbabit," katanya dalam kenyataan, di sini.

Menurutnya, Ahmad Syaheer disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala tiga mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk menerima rawatan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Pahang), Ismail Abdul Ghani berkata, seorang pegawai dan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuantan terbabit dalam operasi menyelamat.

"Anggota bomba menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa yang maut akibat tersepit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Mac 2022 @ 3:50 PM