Keadaan banjir di Terengganu. FOTO Ihsan Pembaca
Keadaan banjir di Terengganu. FOTO Ihsan Pembaca
Nurul Fatihah Sulaini

Jertih: Masih lagi trauma berhadapan banjir hingga rumahnya dihanyutkan air ketika banjir kira-kira tiga tahun lalu, Suriati Mohd Yusof, 38, sekali lagi terpaksa meredah banjir.

Dia terpaksa meredah banjir sambil mendukung anak kelimanya, Alfiera Hardiyati Hardi yang berusia tujuh bulan bersama empat lagi anaknya ke pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Kampung La di Hulu Besut di sini.

"Nasib baik lokasi PPS dekat dengan rumah jika berlaku banjir kami boleh segera berpindah ke sini secepat mungkin.

"Selepas rumah hanyut dulu pada 2019, kami pernah bercadang mahu bina rumah di kawasan lain tetapi terpaksa kembali ke rancangan asal bina rumah berhampiran sekolah.

"Walaupun berat hati tetapi kerana mencari rezeki untuk keluarga kami nekad bina rumah di tapak asal bagi memudahkan saya memasak serta menjual makanan kerana lokasi rumah ini di tepi jalan," katanya ketika ditemui di (PPS) Sekolah Kebangsaan Kampung La, hari ini.

Suriati berkata, rumah yang baru dibina masih belum siap sepenuhnya kerana kekangan kewangan selepas menggunakan duit simpanan sendiri untuk membinanya.

Menurutnya, dia bersama suami, Hardi Mazda, 58, serta anaknya ke PPS selepas rumah dinaiki air selepas Sungai Besut berhampiran rumahnya itu melimpah pada 6 petang Jumaat lalu.

"Nasib baik kali ini, suami ada bersama untuk menguruskan keluarga, ketika rumah dihanyutkan banjir suami keluar bekerja sebagai pemandu lori tetapi kini dia hanya menoreh getah sahaja.

"Jika rumah ini juga hanyut kami tak tahu mahu tinggal di mana kerana mahu sewa rumah juga tidak mampu kerana pendapatan tidak menentu," katanya.

Menurutnya, dia sendiri tidak menyangka kediamannya kembali dilanda banjir pada penghujung Februari ini.

"Selalunya banjir sekitar November dan Disember. Saya lega kerana hujung tahun lalu tidak berlaku banjir tetapi kami berdepan dengan banjir pada awal tahun pula," katanya.

Sementara itu, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Besut turut mengagihkan kit makanan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) kepada wakil keluarga terjejas banjir di PPS daerah itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Februari 2022 @ 3:50 PM