ANTARA gambar anjing liar mati didakwa akibat keracunan yang tular di media sosial. FOTO Facebook Kongsi Segala Info
ANTARA gambar anjing liar mati didakwa akibat keracunan yang tular di media sosial. FOTO Facebook Kongsi Segala Info
BERNAMA

Ipoh: Polis sedang menjalankan siasatan kes dakwaan kematian kira-kira 20 anjing liar dipercayai diracun di kawasan Tasik Cermin di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang warga emas berusia 60 tahun di Balai Polis Kampung Rapat di sini pada 3.38 petang semalam.

"Pengadu lelaki itu mendakwa dia selalu memberi makan kepada anjing-anjing itu dan mendapat maklumat akan kematian haiwan berkenaan.

"Dia kemudian membuat laporan kerana tidak berpuas hati terhadap pihak berkuasa tempatan yang dikatakan menanam bangkai anjing tersebut tanpa merujuk Jabatan Veterinar," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata kes juga telah dirujuk kepada pihak Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) bagi siasatan lanjut.

Semalam, kerajaan Perak menafikan dakwaan kematian anjing liar dipercayai diracun di kawasan Tasik Cermin, di sini dilakukan pekerja MBI.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Perak Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi dilaporkan berkata, kematian anjing liar itu difahamkan dilakukan oleh individu lain.

Katanya, pekerja MBI yang datang ke lokasi kejadian hanya membantu mengalihkan bangkai haiwan berkenaan.

Sejak semalam, tular beberapa gambar menunjukkan beberapa ekor anjing mati berhampiran Tasik Cermin yang dipercayai diracun.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Februari 2022 @ 2:10 PM