Junita Mat Rasid dan Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Perikatan Nasional (PN) yakin dengan kombinasi 56 calon muda dan berpengalaman yang ditampilkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor nanti.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, semua calon berkenaan bukan saja dipastikan kelayakan mereka, malah melalui pelbagai peringkat tapisan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Insolvensi Malaysia.

"PN mengemukakan 41 muka baharu bagi menghadapi PRN Johor dengan 19 daripadanya adalah di bawah usia 40 tahun dan yang paling muda berusia 31 tahun.

"Sebanyak 15 penyandang kerusi Bersatu dikekalkan termasuk tiga Exco iaitu Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur, Mohd Solihan Badri (Gambir); Exco Agama Islam, Tosrin Jarvanthi (Bukit Permai) serta Exco Perpaduan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna, Dr Chong Fat Full (Tangkak).

"Pecahan calon membabitkan Bersatu seramai 33 termasuk ahli bersekutu kita, Pas dengan 15 calon termasuk satu ahli bukan Islam, manakala Gerakan membabitkan lapan calon.

"Calon dikemukakan PN dari pelbagai bidang profesional termasuk ahli perniagaan, guru, akauntan bertauliah, doktor perubatan dan doktor gigi, peguam serta pensyarah.

"Secara keseluruhan, ia adalah pasukan kuat, berpengalaman dan berkelayakan dan tidak sukar kita bentuk kerajaan yang berintegriti, bersih, bebas rasuah dan bebas salah guna kuasa," katanya pada sidang media selepas pengumuman calon PN, di sini hari ini.

Selain itu bekas wartawan kanan yang juga bekas Setiausaha Menteri Dalam Negeri iaitu Zulkifli Bujang, menjadi pertaruhan PN di kerusi 'panas' DUN Larkin.

Setakat ini empat parti lain sudah mengumumkan untuk bertanding di Larkin iaitu Umno, PKR, Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Februari 2022 @ 6:14 PM