DATUK Seri Wee Ka Siong. FOTO MOHAMAD FAHD RAHMAT
DATUK Seri Wee Ka Siong. FOTO MOHAMAD FAHD RAHMAT
Mohamad Fahd Rahmat


Johor Bahru: Perbincangan pembahagian kerusi yang akan ditandingi MCA dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac ini belum dimuktamadkan lagu dan kini masih dalam proses perbincangan dengan Barisan Nasional (BN).

Presiden MCA yang juga Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ir Dr Wee Ka Siong berkata, keputusan muktamad itu akan diumum satu atau dua hari sebelum hari penamaan calon.

"Perbincangan dilakukan secara musyawarah serta atas semangat perkongsian kuasa antara parti komponen BN.

"Apa sahaja yang dibincangkan tidak boleh didedahkan dan apa yang belum dimuktamadkan tidak wajar dimaklumkan. Kita bukan nak tuntut kerusi melalui media, itu hanya perang mulut sahaja.

"Kita akan cari formula terbaik untuk semua pihak," katanya yang mengulas jumlah kerusi yang akan ditandingi MCA pada PRN johor.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Program Transformasi Perkhidmatan Bas Henti-henti (SBST) Johor Bahru di Permas Jaya di sini, hari ini.

Yang turut hadir Menteri Besar Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad dan Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Isham Ishak.

Dalam pada itu, Wee yang juga Ahli Parlimen Ayer Hitam berkata, semua pihak perlu akur dengan kehendak pematuhan prosedur operasi standard (SOP) menjelang PRN Johor nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Februari 2022 @ 6:12 PM