GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: "Saya akan teruskan kerja-kerja kebajikan biarpun baru pulih dari Covid-19.

"Ia tidak menghalang saya dari terus bekerja, membantu seramai mungkin orang susah, Covid-19 beri saya masa rehat sekejap, tetapi sekarang, sambung (kerja) macam biasa," kata aktivis masyarakat, Kuan Chee Heng atau lebih mesra dipanggil Uncle Kentang.

Dia yang baru pulih selepas positif tahap 4a, 7 Februari lalu berkata, wabak berkenaan bukanlah satu penyakit main-main, ia benar dan dia sendiri sudah merasakannya.

Katanya, dua anaknya juga dikesan positif dua hari selepas dia dijangkiti, namun mereka juga sudah pulih seperti biasa.

"Kesannya memang terasa. Berwaspadalah dalam urusan seharian, jaga prosedur operasi standard (SOP) dan ambil vaksin.

"Mereka yang mungkin bercakap itu ini, mereka belum dijangkiti. Bila sudah kena, baru tahu," katanya kepada Harian Metro hari ini.

Kuan berkata, dia kini memberi tumpuan kepada projek Gerai 1 Ringgit, yang akan beroperasi di stesen LRT di Puchong untuk membantu orang ramai mendapatkan makanan pada harga murah.

Katanya, gerai berkenaan menawarkan makanan pada harga RM1.

"Makan telur dan roti bakar dengan kopi RM1 untuk mereka yang lapar dan tak mampu.

"Mungkin orang akan tanya mana dapat duit, itu saya serah pada Tuhan kerana kerja-kerja seperti ini saya sudah buat lama, sudah 20 tahun," katanya.

Dikenali dengan kerja-kerja kebajikan tanpa mengira bangsa, beliau disenangi pelbagai lapisan rakyat Malaysia kerana pendekatannya yang berbeza seperti menyediakan van jenazah dan ambulans kepada masyarakat Islam selain bantuan merentasi agama yang lain.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Februari 2022 @ 3:40 PM