JASIN 20 SEPTEMBER 2019. Kuan Chee Heng (kanan) bertemu Norhaida Kharuddin, 34, (kiri) di rumahnya di Taman Debunga, Merlimau. STR/MUHAMMAD ZUHAIRI ZUBER
JASIN 20 SEPTEMBER 2019. Kuan Chee Heng (kanan) bertemu Norhaida Kharuddin, 34, (kiri) di rumahnya di Taman Debunga, Merlimau. STR/MUHAMMAD ZUHAIRI ZUBER
Rizanizam Abdul Hamid


AKTIVIS masyarakat, Kuan Chee Heng tidak menyangka tindakannya memohon sumbangan RM200 daripada rakyat Malaysia untuk membantu

Norhaida Kharuddin, 34, mendorong begitu ramai individu untuk bersedekah.

Ahli perniagaan yang aktif dalam kerja-kerja kebajikan sejak hampir 20 tahun lalu itu berkata, ini kali pertama usahanya membantu rakyat di luar Lembah Klang, Selangor menjadi tular begitu cepat.

“Saya dihubungi wanita itu yang menceritakan masalahnya Selasa lalu tetapi tidak dapat membantunya kerana dia tinggal di Melaka sedangkan saya menetap dan bekerja di Puchong, Selangor.

“Selepas mendapat kebenarannya, saya berkongsi kisah itu di FB sehingga ia tersebar dan mendapat pelbagai reaksi untuk membantu,” katanya ketika ditemui di rumah wanita berkenaan di Taman Debunga, Merlimau, semalam.

Kuan yang lebih dikenali dengan panggilan Uncle Kentang berkata, beliau terpanggil untuk berkunjung ke rumah wanita berkenaan selepas terharu dengan kejujurannya meminta bantuan.

“Saya dapat maklumat ibu ini benar-benar orang asnaf yang sangat memerlukan bantuan dan bukannya mereka-reka ujian hidup yang dihadapi.

“Sebab itu hari ini saya sanggup datang dari Puchong untuk menyampaikan sendiri bantuan makanan dan wang tunai kerana kejujurannya itu,” katanya disusuli linangan air mata.

Beliau yang juga pernah bertanding sebagai calon bebas dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih Mac lalu berterima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang membantu.

“Inilah semangat rakyat Malaysia yang ‘baik gila’ dan perlu dihayati tanpa mengira agama, kaum dan bangsa,” katanya.

Berita berkaitan:

  • 'Cukuplah bantu saya'
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 September 2019 @ 10:18 AM