Pencari barangan lusuh, Sah Rizal Mohamed Aripin dan isteri, Norizan Mohd Jais bersama bayi mereka. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin
Pencari barangan lusuh, Sah Rizal Mohamed Aripin dan isteri, Norizan Mohd Jais bersama bayi mereka. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin
Amirul Aiman Hamsuddin


Sungai Besar: Usianya baru lapan bulan, namun seorang bayi lelaki terpaksa menanggung pelbagai penyakit sejak dilahirkan tahun lalu.

Mohd Az-Ziqri Sah Rizal ketika ini mengalami masalah darah, pendengaran telinga kiri, jantung berlubang dan usus.

Lebih menyedihkan, anak bongsu daripada empat beradik itu juga tidak mempunyai lubang dubur sejak dilahirkan dan menyebabkan bahagian perutnya terpaksa ditebuk untuk dijadikan sebagai saluran membuang air besar.

Ibu bapa bayi itu, Sah Rizal Mohamed Aripin, 42, dan Norizan Mohd Jais, 40, berkata, walaupun pelbagai dugaan terpaksa ditempuh, ia tidak sesekali melemahkan semangat mereka untuk melihat anaknya sihat.

Sah Rizal berkata, dia hanya bekerja sebagai pencari barangan lusuh dan isterinya pula pula merupakan suri rumah.

"Mohd Az-Ziqri dilahirkan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang pada 17 Mei tahun lalu.

"Bagaimanapun, dia terpaksa dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk menjalani pembedahan kerana masalah usus dan tiada saluran buang air besar.

"Selain tiada lubang dubur, doktor turut memaklumkan anak kami mengalami masalah lain seperti jantung berlubang dan darah," katanya ketika ditemui di Kampung Parit 13, Sungai Panjang di sini, hari ini.

Terdahulu, Pengerusi Pertubuhan Prihatin Malaysia Dr Mohd Hisham Surgi hadir menyantuni Sah Rizal sekeluarga dan menyerahkan sumbangan barangan keperluan asas.

Sah Rizal berkata, Mohd Az-Ziqri perlu menjalani rutin pemeriksaan setiap minggu di HTAR dan HKL.

"Lubang pada perut kirinya perlu dibersihkan lima kali sehari dengan ditutup menggunakan kapas khas.

"Syukur keadaannya masih baik tetapi dia memerlukan penjagaan rapi untuk mengelak jangkitan kuman pada paru-paru yang pernah berlaku sebelum ini," katanya.

Menurutnya, dia yang sebelum ini bekerja sebagai pemandu lori terpaksa berhenti kerja bagi membantu Norizan menjaga Mohd Az-Ziqri sambil mencari barang lusuh di sekitar daerah ini.

Katanya, selain kos ke hospital, dia perlu bersedia menyimpan wang yang dianggarkan puluhan ribu ringgit untuk kos pembedahan lanjutan khususnya membabitkan jantung Mohd Az-Ziqri.

"Pembedahan hanya dilakukan selepas berat badannya melebihi jumlah yang ditetapkan doktor kelak.

"Buat masa ini, kami hanya fokus kepada pemakanannya iaitu minum susu tepung dan membawanya untuk pemeriksaan di dua hospital atau klinik kesihatan," katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menghulurkan sumbangan ke akaun Maybank (162469198099) atas nama Sah Rizal Mohamed Aripin atau menghubunginya di talian 011-21473093 atau 011-37901764.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Februari 2022 @ 4:01 PM