GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

Kangar: Majikan lewat bayar gaji dan langsung tidak membuat bayaran adalah aduan paling banyak diterima Kementerian Sumber Manusia (KSM) menerusi aplikasi digital 'Working for Workers' (WfW) setakat 15 Februari lalu iaitu sebanyak 4,661 kes.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim berkata, pada masa yang sama 1,394 aduan diterima berhubung majikan yang membuat pemotongan upah tanpa mengikut prosedur yang ditetapkan.

"Secara keseluruhan sehingga kini KSM telah menerima 13,939 kes yang merangkumi pelbagai aduan," katanya kepada pemberita ketika Operasi Bersepadu Penguatkuasaan Akta 446 dan Pematuhan Akta 342 di Kangar di sini, hari ini.

Sementara itu berhubung penguatkuasaan Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Pindaan) 2019 Akta 446, Awang berkata secara keseluruhan KSM telah melakukan 40,597 pemeriksaan terhadap majikan melibatkan 171,420 penginapan pekerja.

Beliau berkata daripada jumlah itu 1,192 kertas siasatan telah dibuka di bawah Akta 446, dan 135 kes telah diambil tindakan pendakwaan di Mahkamah Sesyen seluruh negara melibatkan denda yang perlu dibayar menjangkau RM979,000.

Awang berkata 846 kertas siasatan telah diberi izin kompaun, melibatkan tawaran kompaun berjumlah RM10,268,000, dan sehingga kini RM4,272,000 kompaun telah berjaya dikutip menerusi kesalahan di bawah akta berkenaan.

"Kebanyakan kesalahan yang dilakukan adalah berkaitan pelanggaran di bawah Seksyen 24D Akta 446 kerana menempatkan pekerja di penginapan tanpa perakuan daripada Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Kerja serta peraturan 3 dan 4 di bawah Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja (Penginapan dan Penginapan Berpusat) 2020," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Februari 2022 @ 5:00 PM